Seluruh KL kini zon merah Covid-19
6 Apr 2020
CHERAS kini diisytiharkan zon merah Covid-19, menjadikan semua daerah kesihatan di ibu kota Kuala Lumpur diklasifikasikan sebagai hotspot virus itu, kata Kementerian Kesihatan.
Jumlah kes jangkitan di Cheras naik ke 44 daripada 38 kes sebelum ini, menjadikan ia zon merah, iaitu kawasan di mana terdapat lebih 40 kes.
Ini menjadikan jumlah keseluruhan zon merah di Malaysia kepada 18, membabitkan 2,453 kes koronavirus daripada 3,662 kes di seluruh negara.
Setakat semalam, Lembah Pantai ialah daerah paling tinggi jumlah kes iaitu 376, diikuti Hulu Langat (318) dan Petaling (292).
KKM mempunyai klasifikasi daerah berbeza berbanding kawasan Parlimen dalam pilihan raya. Cheras misalnya terdiri daripada Parlimen Cheras dan Bandar Tun Razak.
Zon merah yang lain ialah Kuching (165), Seremban (156), Kluang (147), Johor Baru (139), Kepong (112), Klang (109), Gombak (100), Titiwangsa (90), Kinta (84), Kota Baru (82), Tawau (67), Hilir Perak (65), Jerantut (60) dan Batu Pahat (47).
Kementerian Kesihatan mengklasifikasikan sesebuah daerah itu zon oren jika terdapat antara 20 hingga 40 kes, sementara zon kuning bagi kes kurang daripada 20.
Zon oren ialah Rembau (40), Sepang (39), Lahad Datu (38), Jasin (38), Putrajaya (37), Seberang Prai Tengah (37), Kuantan (36), Kota Samarahan (36), Kota Kinabalu (34), Kuala Muda (33), Kuala Selangor (29), Muar (29), Melaka Tengah (28), Timur Laut (27), Dungun (27), Besut (26), Hulu Selangor (25), Kulai (24), Kota Setar (23), Alor Gajah (23), Pekan (22) dan Kuala Langat (21).
Terdapat empat zon hijau iaitu kawasan bebas Covid-19 di semenanjung, Kampar, Yan, Machang dan Hulu Terengganu.
Ulasan
Catat Ulasan