Pondok kecil ruang teduh 6 beranak
Pondok kecil ruang teduh 6 beranak
Harian Metro 8 April 2020
ENAM beranak terpaksa berteduh dalam pondok kecil di dalam kebun getah sejak seminggu lalu selepas diusir keluar dari rumah sewa di Siong, Baling kerana gagal membayar duit sewa.
Mohd Balhisham Abdul Latif, 44, berkata dia bersama isteri, Norazirah Zaini, 34, dan empat anak tiada pilihan kecuali membina pondok terbabit untuk dijadikan tempat tinggal mereka di Kampung Tanjung Langsat, Siong.
“Apabila pemilik rumah sewa meminta kami sekeluarga keluar, saya tiada pilihan lalu membawa isteri dan anak keluar untuk berteduh di dalam pondok berkeluasan empat meter ini.
“Saya tidak ada tempat tinggal lain dalam keadaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan mengambil keputusan membina pondok di dalam kebun untuk berteduh,” katanya ketika ditemui di pondoknya, hari ini.
Mohd Balhisham berkata, dia jatuh sakit sejak setahun lalu dan keadaan paling teruk sejak tiga bulan ini kerana tidak dapat bekerja menyebabkan duit sewa RM200 tertunggak untuk tempoh sebulan.
Menurutnya, dia mengalami sakit dalaman dan diserang angin ahmar menyebabkan tidak boleh boleh bekerja kuat.
Katanya, fikirannya juga runsing kerana menanggung empat anak termasuk tiga masih bersekolah iaitu Mohd Aqif Amin, 11, Mohd Aqif Hilman, 9, dan Noraqidatul Auni, 6, selain Mohd Aqif Danial, tujuh bulan.
“Kini sepanjang PKP, saya bergantung sumbangan barangan makanan daripada keluarga, jiran serta pihak lain.
“Saya juga sedih melihat anak-anak tinggal di dalam pondok yang tidak ada kemudahan asas, namun tetap tabah menghadapi ujian Allah SWT selain tidak mahu hidup mereka terbiar,” katanya.
Ulasan
Catat Ulasan