Empat beranak hidup menumpang di bengkel, ibu hanya mampu lihat anak kena sawan 10 kali sehari

Empat beranak hidup menumpang di bengkel, ibu hanya mampu lihat anak kena sawan 10 kali sehari

Amira bersama keluarganya ketika ditemui di bengkel motosikal yang juga tempat tinggal mereka. Mereka menerima sumbangan barang makanan harian daripada Persatuan Kebajikan Darul Jariyah.

“SILA duduk di rumah.” Ini frasa yang acap kali diulangi pemimpin negara dalam kita menjalani tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang kini memasuki fasa ketiga.

Pelbagai aktiviti dilakukan orang ramai bagi mengisi masa lapang serta mengelakkan kebosanan akibat terpaksa terperuk di rumah.

Namun bagi Amira (bukan nama sebenar) dan keluarganya, kesempitan hidup yang dialami memaksa mereka menjadikan ruang belakang bengkel motosikal yang disewa sebagai tempat tumpang berteduh. 

Ruang sempit tersebut bahkan hanya mampu mereka isi dengan tilam queen, mesin basuh, tong gas serta dapur yang diletakkan di atas lantai dan sebuah almari untuk mereka simpan barangan rumah. 

"Kami sudah tinggal di sini lebih kurang setahun, sebelum ini kami tinggal di rumah ayah saya tetapi kami terpaksa berpindah kerana ahli keluarga yang lain ingin menjual rumah tersebut," katanya. 


Inilah tempat empat beranak ini berteduh dari hujan dan panas.

Apa yang lebih menyayat hati, Amira kini tidak mampu berjalan dan anak bongsunya yang berusia dua tahun mempunyai masalah kesihatan yang menyebabkan dia mengalami sawan lebih 10 kali sehari.

"Saya tidak dapat berjalan sejak melahirkan anak saya, kaki saya bengkak, jadi suami saya perlu mendukung saya ke bilik air.

"Tapi, tumpuan kami kini lebih kepada anak, dia mengalami pendarahan di otak ketika dilahirkan, tapi lepas dah pulih doktor beritahu ada cecair dalam kepalanya.

"Sekarang kami terpaksa berhenti membawanya untuk menjalani terapi sebab kami tidak mempunyai pengangkutan," katanya yang mempunyai dua cahaya mata.

Pendapatan keluarganya yang bergantung kepada suami yang bekerja sebagai mekanik di bengkel tersebut kini turut terjejas disebabkan penguatkuasaan tempoh PKP.

"Bengkel kini hanya boleh dibuka sekejap sahaja jadi kalau hari tu ada motor dan kita berjaya siapkan, maka upah itulah yang kami ada untuk belanja barang dapur. 

"Kadang ada pelanggan tayar pancit, dapatlah dalam RM30 ke RM50, jadi duit itulah kami beli telur dan ikan. 

"Tapi pelanggan bukan ada selalu, dan duit yang kami terima ini, kami perlu simpan untuk bayar sewa bengkel," katanya. 

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

MALAYSIA TIDAK IKTIRAF LESEN MEMANDU UNHCR .

Keluhan warga RTC Kelantan tentang peniaga asing