Upah nelayan RM1,200 setiap Pati masuk
Upah nelayan RM1,200 setiap Pati masuk
SINDIKET penyeludupan pendatang asing tanpa izin (Pati) dikesan mengupah nelayan tempatan sehingga RM1,200 sekepala bagi menyeludup masuk migran ke negara ini.
Taktik terbaharu itu susulan sempadan negara yang dikawal ketat anggota penguat kuasa dan ribuan Pati dipercayai mula menceroboh selepas Ramadan dan Aidilfitri lalu.
Timbalan Pengarah Operasi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Johor, Kepten Maritim Sanifah Yusof berkata, modus operandi baharu sindiket itu terbongkar hasil risikan pihaknya dan golongan itu mencari kaedah yang memudahkan mereka menyusup migran.
"Jika sebelum ini sindiket menggunakan laluan lorong tikus dari perairan Parit Jawa, Muar sehinggalah ke Gelang Patah, kini mereka beralih menggunakan khidmat nelayan tempatan pula.
"Mereka membawa antara 10 hingga 20 PATI menaiki bot pancung dari kawasan Indonesia sebelum bot-bot nelayan tempatan yang kononnya menangkap ikan, menunggu di kawasan sempadan untuk pemindahan migran.
"Kemudian bot nelayan mengangkut Pati ini ke jeti berhampiran sebelum mereka dipecahkan kepada kumpulan lebih kecil untuk dihantar ke destinasi masing-masing," katanya kepada NSTP, hari ini.
Beliau juga dimaklumkan sindiket itu membayar upah lumayan antara RM800 hingga RM1,200 bagi setiap Pati yang dibawa kepada nelayan.
Katanya, pengawasan di perairan tempatan dipertingkatkan dan setiap kelong nelayan diperiksa bagi memastikan tiada Pati.
Mengulas penahanan 18 anggota penguat kuasa terbabit sindiket jenayah terancang penyeludupan, beliau berkata, menyokong ketegasan Polis Diraja Malaysia (PDRM) memastikan pengkhianat yang menyebabkan negara dibolosi diambil tindakan.
Katanya, Maritim Malaysia sentiasa bekerjasama dalam usaha itu menjunjung tanggungjawab dan amanah diberikan dengan penuh integriti.
- Harian Metro
Ulasan
Catat Ulasan