Sungguh Diluar Jangkaan, Wartawan Menyamar Jadi Pengemis Depan Masjid Dan Kaki Lima. – Asia Kini
Tidak perlu berpura-pura cacat, memakai pakaian lusuh atau meletakkan kertas bertulis ayat merayu sumbangan.
Itu dilakukan wartawan ketika menyamar sebagai pengemis dan seterusnya mudah meraih simpati warga ibu kota untuk menderma.
Pengalaman itu dilalui wartawan ketika melakukan penyamaran sebagai pengemis di hadapan Masjid Al-Bukhary, Jalan Hang Tuah selain bank dan restoran makanan segera di Jalan Bukit Bintang, di sini, Jumaat lalu.
Hasil diperoleh untuk tempoh kira-kira dua jam penyamaran di lokasi terbabit ialah RM36 namun ada kemungkinan lebih banyak wang akan diperoleh jika duduk lebih lama atau seharian di situ.
Ikuti perkongsian wartawan di tiga lokasi terbabit untuk melihat sejauh mana tahap keprihatinan rakyat Malaysia terhadap pengemis di kaki lima.
Lokasi 1 – Masjid Al-Bukhary, Jalan Hang Tuah
Penyamaran bermula kira-kira jam 1.30 tengah hari dan lokasi pertama disasarkan adalah di kaki lima di luar kawasan masjid untuk mengambil kesempatan daripada kehadiran jemaah yang hadir menunaikan solat Jumaat.
Ketika itu, wartawan datang dengan memakai baju-T dan seluar trek serta membawa bekas kedap udara bersama tisu yang sekadar menjadi umpan untuk menarik perhatian jemaah yang hadir.
Kira-kira lima minit selepas duduk mengemis, datang seorang lelaki memakai baju Melayu menghampiri wartawan sebelum meletakkan wang RM1 di dalam bekas.
Wartawan cuba menghulurkan tisu yang dibawa bersama, tetapi lelaki berkenaan enggan menerimanya.
Kemudian datang lagi beberapa lelaki menderma wang dengan jumlah paling besar adalah RM10, tetapi mereka juga tidak mengambil tisu yang diberi.
Sebelum beredar, wartawan cuba menghampiri seorang lelaki memakai jaket pengawal keselamatan untuk meminta ihsan dan dia kemudian mengeluarkan dua keping wang RM1 daripada poket seluar dan memberikannya kepada wartawan sambil memberitahu hanya itu wang yang dia ada.
Selesai tugasan penyamaran di situ, wartawan beredar meninggalkan lokasi sebaik mendapat isyarat daripada jurugambar dan juruvideo.
Jumlah kutipan diperoleh penulis di lokasi pertama dalam tempoh kira-kira 45 minit adalah sebanyak RM16.
Lokasi 2 – Di hadapan bank dan laluan masuk ke Stesen Transit Aliran Massa (MRT) Bukit Bintang, hasil kutipan diperoleh sebanyak RM7.
Lokasi 3 – Di hadapan restoran makanan segera, Jalan Bukit Bintang, kutipan wartawan di lokasi ketiga adalah sebanyak RM13.
Jumlah kutipan adalah RM36 untuk ketiga-tiga lokasi dan hanya dalam beberapa jam sahaja. Bayangkan jika menunggu seharian, agaknya berapa kutipan?
Ulasan
Catat Ulasan