Rindu di balik tirai besi
KAJANG: "Tindakan saya melakukan kesilapan sebelum ini menyebabkan anak-anak tidak dapat memaafkan saya dan perkara itu menghantui saya setiap hari," luah banduan yang hanya mahu dikenali sebagai Yus, 44.
Yus berkata, dia dikurniakan lima anak perempuan dengan empat daripadanya pasangan kembar berusia 11 hingga 15 tahun.
"Sebelum saya menjalani hukuman penjara, saya sering mengabaikan anak-anak dengan kerap tidak pulang ke rumah dan tidak bersama mereka.
"Apabila saya dimasukkan ke penjara sejak 2012 atas kesalahan melakukan pemerasan, ahli keluarga sukar menerima kenyataan termasuk anak-anak yang tidak mahu bertemu saya," katanya di Penjara Kajang di sini.
Yus yang sebelum ini kakitangan kerajaan berkata, dia pernah mengalami kemurungan akibat sedih tidak diterima anak-anaknya.
"Saya sentiasa rindu dan kerap memikirkan mengenai anak-anak sehingga perkara itu menyebabkan saya mengalami tekanan serta murung sehingga perlu mendapatkan khidmat kaunseling dalam penjara.
YUS menunjukkan lukisan yang dihasilkan anaknya ketika ditemui di Penjara Kajang.
"Keadaan tambah rumit apabila saya menerima surat daripada ahli keluarga yang memaklumkan bapa saya meninggal dunia pada 2018," katanya.
Katanya, dia turut menjadikan surat yang dikirim seorang daripada anaknya sebelum ini sebagai pengubat rindu.
"Dalam surat itu, anak memaklumkan dia menyayangi saya namun tidak dapat menerima saya sepenuhnya atas kesilapan saya sebelum ini yang mengabaikan mereka.
"Setiap kali memikirkan perkara itu, saya rasa sedih dan menyesal kerana mengabaikan mereka.
"Andai saya diberikan peluang dan dimaafkan mereka, saya berjanji untuk berubah serta akan sentiasa bersama mereka," katanya yang akan dibebaskan pada Oktober tahun depan.
YUS menceritakan kisah hidupnya kepada wartawan.
Menurut Yus, walaupun tidak dapat meraikan Hari Bapa namun dia berdoa supaya anak-anaknya serta keluarga sentiasa dilindungi Allah SWT dan menjadi anak yang beriman serta patuh kepada keluarga.
"Apabila dibebaskan dan dapat bersama mereka lagi, saya akan sambut setiap hari istimewa mereka serta Hari Bapa bersama-sama anak-anak tersayang," katanya.
Sementara itu, seorang lagi banduan yang hanya mahu dikenali sebagai Putih, 30, berkata, dia tidak sempat merasai nikmat bergelar bapa apabila dikenakan hukuman penjara ketika isterinya hamil empat bulan.
"Pada September 2018, saya ditahan atas kesalahan rogol serta samun. Saya dijatuhi hukuman penjara 15 tahun dan dua sebatan. Ketika itu, usia perkahwinan baru setahun lebih manakala isteri pula sedang hamil.
PUTIH menunjukkan lukisan potret anaknya yang dihasilkan rakan di Penjara Kajang.
"Akibat perbuatan ini, saya tidak dapat merasai pengalaman bergelar bapa sebenar. Sehingga kini, hanya sekali saya pernah pegang anak perempuan saya yang kini berusia dua tahun iaitu apabila berada di mahkamah apabila isteri membawanya bersama ketika itu," katanya.
Putih berkata, kesalahan dilakukannya juga menyebabkan isterinya mengambil keputusan untuk bercerai.
"Walaupun sudah bercerai, bekas isteri ada membawa anak untuk melawat saya pada tahun lalu dan itu adalah kali terakhir saya melihatnya.
"Bekas isteri ada memberikan gambar anak ketika dia berusia enam bulan dan saya meminta bantuan rakan untuk melukis potretnya sebagai tatapan setiap hari.
"Saya berharap anak sudi memaafkan kesilapan saya serta memberi peluang untuk saya menjalankan tanggungjawab sebagai bapa kepadanya satu hari nanti.
"Tidak mengapa jika saya tidak dapat menyambut Hari Bapa bersama anak, yang penting, saya sentiasa menyayanginya," katanya.
Ulasan
Catat Ulasan