Rakaman Kebakaran Kg Bahagia Sibu Ibu bersama tiga anak nekad terjun selamatkan diri.
27/6 Ibu bersama tiga anak nekad terjun selamatkan diri
SIBU: 27-6-2020
Tiada apa yang lebih berharga buat seorang ibu apabila nekad terjun dari ketinggian kira-kira 10 kaki untuk menyelamatkan tiga anaknya termasuk seorang bayi lima bulan dalam kebakaran sebuah rumah di Lorong Bahagia Selatan 10, Kampung Bahagia Jaya Teku, petang tadi.
Ketika kejadian, Caroline Kulan, 31, bersama anaknya Ferbian Song Teck Kiong, 8, Vivian Song Ling Mei, 7, dan Pilasevai Caroline Kulan lima bulan, berada di dalam rumah.
Menurut Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon Sibu, Janggan Muling, ibu terbabit bersama tiga anaknya terjun dari bahagian belakang rumah untuk menyelamatkan diri.
“Mereka mengalami kecederaan di bahagian kaki kanan dihantar ke hospital oleh orang awam sebelum pasukan bomba tiba di lokasi kejadian,” ujarnya sebentar tadi.
Katanya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Merah digerakkan ke lokasi selepas menerima panggilan jam 4.28 petang.
“Turut membantu dalam operasi mengawal dan memadam kebakaran itu adalah sepasukan anggota dari BBP Sentral Sibu.
“Kebakaran membabitkan sebuah rumah tidak kekal dengan 80 peratus terbakar,” ujarnya.
Menurutnya, api berjaya dipadamkan sepenuhnya kira-kira 1 jam 40 minit.
“Kita menjalankan pemantauan yang kerap di kampung berkenaan berikutan sudah beberapa kali berlaku kebakaran.
"Tiada mangsa terperangkap di dalam rumah terbabit. Punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,” ujar beliau.
Agensi lain yang turut terlibat di lokasi termasuk PDRM, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Sarawak Energy Berhad (SEB).
Ulasan
Catat Ulasan