Bagaikan hidup di bumi asing

Bagaikan hidup di bumi asing
Harian Metro 23-6-2020

PENDUDUK sekitar Kota Kecil dan Kampung Makam di Kota Tinggi mendakwa bagai hidup di bumi asing berikutan kehadiran ramai warga asing yang menjadikan kawasan itu sebagai 'perkampungan' mereka.

Tinjauan Harian Metro mendapati kawasan perumahan kos rendah itu dipenuhi warga asing, malah mereka turut bercucuk tanam, menternak ayam, berniaga kedai runcit dan mengusahakan bengkel kereta.

Penduduk dikenali sebagai Shamsul, 36, berkata dia menyedari warga asing terutama etnik Rohingya menetap di situ sejak lebih 12 tahun lalu termasuk menjalankan aktiviti perniagaan.

Menurutnya, dia bekerja hampir sembilan tahun dengan tauke warga Thailand, selain mendapati warga Pakistan mengusahakan kedai karpet dan etnik Rohingya bekerja di kedai mencuci kereta di kawasan itu.

"Mana-mana pergi di kawasan ini rasa seperti dunia lain. Mereka (warga asing) ada di mana-mana. Tidak tahu datang dari mana, tapi selalunya dalam kumpulan.

"Kebiasaannya pada waktu petang hingga ke malam memang 'hidup' kawasan ini dengan kehadiran mereka.

"Terdapat begitu ramai warga asing menetap di sekitar kawasan ini, tetapi mereka jenis tidak ganggu sesiapa, hidup seperti dalam dunia sendiri," katanya.

Sementara itu, tukang gunting rambut etnik Rohingya, Rashidullah, 30, berkata dia merantau ke negara ini dari Myanmar dengan menaiki bot bersama adik lelakinya yang ketika itu berusia empat tahun bersama 57 individu lain.

Menurutnya, mereka berada di atas bot selama satu bulan enam hari tanpa makan kerana mahu datang ke negara ini untuk memulakan hidup baharu selepas kehilangan ahli keluarga lain.

"Saya mula datang sini (Johor) bersama kawan-kawan pada 2013 dan bekerja sebagai tukang gunting rambut dengan pendapatan RM1,200 sebulan.

"Saya kerja ikut prosedur operasi standard (SOP), kerajaan Malaysia tidak bagi kerja, saya tidak kerja. Ini baru saya naik kerja semula kerana mahu cari makan," katanya.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

MALAYSIA TIDAK IKTIRAF LESEN MEMANDU UNHCR .

Keluhan warga RTC Kelantan tentang peniaga asing