Panik monyet larikan kunci kereta

Panik monyet larikan kunci kereta

MyMetroMutakhir
Erika George
cnews@nstp.com.my
SEORANG lelaki panik apabila kunci pacuan empat roda Toyota Hilux miliknya dirampas seekor monyet lalu dilarikan ke atas pokok ketika dia beriadah di Canada Hill, Miri, semalam.

Dalam kejadian 5 petang itu, lelaki berusia 48 tahun terbabit bersenam di sekitar pusat riadah berkenaan sebelum monyet berkenaan tiba-tiba menerpa ke arahnya dan merampas kunci kenderaan dari genggamannya.

Bimbang kunci berkenaan dilarikan haiwan itu lebih jauh lagi ke dalam hutan, lelaki terbabit bertindak menghubungi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Miri bagi menjalankan khidmat khas menangkap monyet terbabit.

Jurucakap Pasukan Bravo BBP Miri berkata, pasukannya bergerak ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan berhubung kejadian pada 5.04 petang.

"Pasukan bomba sejurus itu terpaksa memanjat pokok terbabit bagi mendapatkan semula kunci yang disangkut pada ranting sebatang pokok.

"Kami mengambil masa hampir setengah jam sehingga 5.24 petang untuk mendapatkan kunci kenderaan itu semula sebelum diserahkan kepada pemiliknya," katanya ketika dihubungi.

Katanya, pemilik kenderaan yang enggan namanya didedahkan menzahirkan penghargaan serta berterima kasih kepada pasukan bomba selepas membantunya mendapatkan semula kunci kenderaan itu.

"Pada hari sebelumnya, kami turut menerima laporan monyet melarikan telefon pintar milik seorang individu ketika beriadah di kawasan berkenaan," katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Jun 2020 @ 12:47 AM

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Covid-19: Penumpang bas ekspress Seremban-Sungai Petani dirayu tampil

((Live)) MPKj Laksana Tindakan SITA KEATAS Premis Perniagaan Warga Asing

Bos Bangla pukul staff warga tempatan