BILA PENGKHIANAT SEWAKAN LESEN

BILA PENGKHIANAT SEWAKAN LESEN


PENIAGA keturunan Acheh dikesan menggunakan helah berselindung di sebalik lesen sah milik peniaga tempatan untuk menjalankan operasi kedai runcit mereka.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Selayang (MPS) Shamsul Shahril Badliza Mohd Noor berkata, pihaknya tidak pernah mengeluarkan lesen kepada peniaga warga asing, namun ada di antara peniaga tempatan dikesan 'memajak' lesen mereka kepada golongan berkenaan.

"Hasil pemantauan dan aduan diterima, kami menjalankan pemeriksaan di 25 premis yang juga kedai Aceh dalam kawasan pentadbiran MPS.

"Ketika diperiksa, semua premis ini mempunyai lesen perniagaan sah di bawah nama peniaga tempatan.

"Namun, pemeriksaan mendapati individu yang berada di dalam premis berkenaan terdiri daripada warga Indonesia berketurunan Aceh.

"Kebanyakan mereka memberi alasan kononnya mereka hanya pekerja di premis berkenaan, namun pemeriksaan mendapati mereka adalah pengendali kedai berkenaan," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis MPS Bilangan 4/2020 di Pejabat MPS, hari ini.

Shamsul berkata, pihaknya turut mengambil tindakan terhadap pemilik lesen berkenaan yang didapati 'memajak' lesen mereka kepada golongan terbabit.

"Tindakan yang diambil terhadap peniaga warga tempatan berkenaan adalah secara berperingkat iaitu beri amaran terlebih dahulu sebelum pembatalan lesen serta sitaan dilakukan.

"Operasi bagi mengesan kedai Aceh lain yang terdapat di kawasan pentadbiran MPS dijalankan secara berterusan bagi memastikan kewujudan premis seumpama itu dapat dibanteras," katanya.

Dalam perkembangan berasingan, beliau memaklumkan pihaknya sudah merobohkan 18 struktur haram yang dibina di sekitar Pasar Harian Selayang pada awal perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Kawasan sekitar Pasar Harian Selayang yang sering menjadi tumpuan peniaga warga asing beroperasi adalah terletak di bawah pentadbiran MPS. Lokasi itu juga adalah kawasan larangan memandangkan ia adalah kawasan rizab sungai dan jalan.

"Justeru, kami mengambil tindakan merobohkan semua struktur berkenaan dan meletakkan penghadang bagi mengelakkan peniaga warga asing beroperasi semula.

"Setakat ini, kawasan itu sudah 'bersih' daripada kewujudan peniaga warga asing dan operasi serta pemantauan akan dilakukan secara berterusan di kawasan berkenaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Jun 2020 @ 2:49 PM

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

MALAYSIA TIDAK IKTIRAF LESEN MEMANDU UNHCR .

Keluhan warga RTC Kelantan tentang peniaga asing