3 bot nelayan, 11 Pati ditahan
AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan tiga bot nelayan tempatan kelas B1 bersama 11 pendatang asing tanpa izin (Pati) dalam Op Benteng Laut di kedudukan 6.4 batu nautika Barat Daya Sungai Belukang di Hutan Melintang dekat Bagan Datuk, kelmarin.
Dalam kejadian pada 7.15 malam itu, semua Pati yang bekerja di atas bot berkenaan ditahan sepasukan anggota Kapal Maritim Malawali hasil maklumat awam.
Pengarah APMM Perak, Kepten Maritim Shahrizan Raman berkata, mereka yang ditahan adalah tiga warga Indonesia dan lapan warga Myanmar berusia antara 17 hingga 40 tahun.
Menurutnya, ketiga-tiga bot berkenaan turut didapati melakukan kesalahan menangkap ikan di bawah 12 batu nautika.
"Semua Pati terbabit ditahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana didapati tinggal dan berada di negara ini tanpa pas atau permit yang sah.
"Kesemua tahanan menjalani ujian saringan Covid-19 dan diletakkan di Pejabat Daerah dan Tanah Manjung sementara menunggu keputusan diperoleh," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Shahrizan berkata, APMM mengalu-alukan kerjasama komuniti maritim menjadi 'mata dan telinga' pihak berkuasa dengan menyalurkan maklumat dalam usaha menggempur Pati yang menyeludup masuk melalui sempadan perairan negara.
Ulasan
Catat Ulasan