Bayar RM300 boleh dapat 'MyKad'
Bayar RM300 boleh dapat 'MyKad'
HANYA membayar RM200 hingga RM300, lapan warganegara Indonesia boleh memperoleh kad pengenalan palsu dan menggunakannya untuk mendapatkan pekerjaan di negara ini.
Mereka masing-masing memperoleh kad berkenaan daripada individu berasingan didakwa tidak dikenali sejak setahun lalu.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Nurulhuda Mohd Salleh berkata, rahsia warga asing itu terbongkar apabila cuba memohon pekerjaan di sebuah kilang di Meru.
"Pada Rabu lalu, seorang lelaki tempatan membawa lapan individu ini iaitu lima lelaki serta tiga wanita Indonesia untuk sesi temuduga di sebuah kilang, namun dilihat cemas apabila polis bantuan kilang itu memeriksa kad pengenalan seorang daripada mereka.
"Ia menimbulkan curiga sebelum polis bantuan itu memeriksa semua kad pengenalan milik suspek dan mengesyakinya palsu," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara, semalam.
Nurulhuda berkata, polis bantuan itu memaklumkan kepada majikannya dan semua mereka dibawa ke Balai Polis Meru untuk tindakan lanjut.
Katanya, siasatan awal mendapati lapan kad pengenalan yang diserahkan adalah palsu dan suspek mengaku bahawa memperoleh kad itu daripada individu berasingan yang tidak dikenali kira-kira setahun lalu.
"Suspek juga memaklumkan, mereka membayar antara RM200 hingga RM300 untuk mendapatkan kad pengenalan berkenaan," katanya.
Menurutnya, setakat ini 11 individu sudah ditahan susulan kes itu termasuk ejen pekerjaan dan mereka ditahan reman selama empat hari bermula semalam.
"Siasatan lanjut sedang dijalankan dan kita akan merujuk kes dengan Jabatan Pendaftaran Negara," katanya.
Sumber:
https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2020/06/588787/bayar-rm300-boleh-dapat-mykad
Ulasan
Catat Ulasan