Tak sempat solat Jumaat atas bumbung, 116 warga asing ditahan

Tak sempat solat Jumaat atas bumbung, 116 warga asing ditahan

27 Mac 2020


Polis menahan 116 rakyat asing di sebuah kilang di Muar, tengah hari ini, kerana sedang membuat persiapan untuk menunaikan solat Jumaat, walaupun Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sedang dikuatkuasakan.

Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata mereka yang ditahan terdiri daripada rakyat Pakistan, Bangladesh dan Indonesia.

“Mereka yang terlibat ini sedang membuat persiapan untuk menunaikan solat Jumaat di atas bumbung kilang berkenaan. Jadi, boleh lihat dalam keadaan sebegini pun, masih ada pihak yang mengambil kesempatan untuk melanggar syarat atau arahan yang diberikan,” katanya pada sidang media, di Johor Bahru, hari ini.

Beliau berkata tindakan lanjut terhadap kesemua rakyat asing itu akan dilakukan mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Akta Imigresen 1959/63.

“Kami juga akan siasat majikan mereka. Kalau majikan pun mengetahui atau sedia maklum tetapi tidak memaklum dan mengambil langkah pencegahan, maka, kami akan ambil juga tindakan,” katanya.

Ayob Khan berkata penangkapan terbaru itu menjadikan jumlah kumulatif individu yang ditahan akibat melanggar PKP di negeri ini, setakat hari ini adalah 149 orang dan daripada jumlah itu, seramai 33 orang merupakan rakyat tempatan.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan seramai tujuh lagi rakyat Malaysia yang menghadiri program Ijtimak Dunia 2020 Zon Asia di Sulawesi, Indonesia telah pulang ke tanah air melalui Terminal Feri Stulang Laut, di sini, pada 11 pagi tadi.

“Jemaah ini dipercayai ada kaitan dengan jemaah tabligh di Masjid Sri Petaling. Mereka telah diberi saringan kesihatan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan kesemuanya negatif jangkitan COVID-19 tetapi mereka telah diletak dalam kuarantin di pusat kuarantin di sini (Johor Bahru) selama 14 hari,” katanya.

Semalam, polis memaklumkan, seramai 36 jemaah tabligh Malaysia yang menghadiri program sama sudah pulang ke Malaysia menerusi dua terminal feri antarabangsa di negeri ini.

Kesemua mereka pulang menerusi Terminal Feri Antarabangsa Stulang, di sini dan Terminal Feri Antarabangsa Puteri Harbour di Iskandar Puteri.

KKM menganggarkan kira-kira 80 hingga 100 rakyat Malaysia ke Sulawesi bagi menghadiri perhimpunan berkenaan.

- Bernama

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Sedih apabila melihat dua keadaan berbeza di Pasar Borong Selayang.

kkm tarik keluar 10 ubat gastrik risiko kanser