Terkandas di bumi asing, mimpi ngeri lapan rakyat Malaysia

Terkandas di bumi asing, mimpi ngeri lapan rakyat Malaysia
26 Mac 2020


KUALA LUMPUR: Berada beribu batu dari tanah air dan perlu menghabiskan diri di pusat kuarantin adalah mimpi ngeri yang tidak pernah dibayangkan akan berlaku oleh sekumpulan rakyat Malaysia di Montenegro.

Ditahan di hostel pelajar yang dijadikan sebagai pusat kuarantin, Nuril Esteadad Buhari hanya mampu berharap bantuan kerajaan akan segera datang, sejurus tempoh kuarantin berakhir.

Ketika dihubungi pada jam 3.46 petang (waktu tempatan) semalam, beliau yang mengusahakan agensi pemandu pelancong berkata, mereka berlapan berlepas dari Malaysia menuju ke Berlin, Jerman pada 7 Mac lalu, lebih dua minggu sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 16 Mac.

Menurut Nuril, segalanya berjalan lancar sebaik tiba di Jerman pada 8 Mac walaupun negara berkenaan ketika itu sedikit sebanyak sudah mula berdepan ancaman wabak coronavirus (COVID-19).

“Kami melepasi Macedonia untuk memasuki Albania pada 12 Mac dan melalui pemeriksaan kesihatan di sempadan.

“Semuanya okay, tiada masalah. Kedua-dua negara (Macedonia dan Albania) ada menjalankan pemeriksaan kesihatan dan semuanya kami lepasi tanpa sebarang kesulitan,” katanya.

Nuril berkata, mereka mula dilanda masalah apabila cuba memasuki Montenegro pada 13 Mac melalui sempadan Muriqan – Sukobin.

“Kami dihalang dari memasuki Montenegro kerana pada pasport antaranbangsa masing-masing ada tertera cop dari Jerman.

“Ini membuatkan kami terpaksa menuju ke sempadan kedua yang mengambil masa satu jam perjalanan iaitu di Hani i Hotit – Bozhaj,” katanya.

Nuril memberitahu, sebaik tiba di Montenegro mereka berlapan terus dibawa ke pusat kuarantin iaitu sebuah hostel pelajar dan ditempatkan di dalam bilik berasingan setiap seorang selama 14 hari.

Katanya, perjalanan asal yang sepatutnya diteruskan ke Boznia Herzegovina tergendala gara-gara berdepan masalah tidak diduga itu.

“Memang kami ditempatkan di bilik yang selesa dan lengkap dengan kemudahan, namun apa yang menjadi masalah adalah isu bahasa, bekalan perubatan dan makanan halal.

“Pihak berkuasa di sini tidak fasih berbahasa Inggeris dan konsep makanan halal menurut pengertian mereka hanyalah makanan yang tidak mengandungi daging khinzir,” katanya.

Demi kelangsungan hidup, Nuril mengakui beliau dan rakan-rakan lain terpaksa berpuas hati dengan hidangan ayam atau daging yang disediakan pihak berkuasa.

Mengulas lanjut beliau berkata, mereka diberikan tiga hidangan utama setiap hari iaitu sarapan, makan tengah hari dan makan malam, tetapi hanya bergantung kepada air paip untuk sumber air.

“Apa yang menjadi kebimbangan saya sekarang ialah ada seorang anggota kumpulan kami yang menghidap diabetes.

“Tanpa bekalan perubatan yang sesuai, saya risau keadaannya akan menjadi buruk walaupun setakat ini keadaan beliau baik-baik sahaja,” katanya sambil menambah, aplikasi WhatsApp adalah satu-satunya komunikasi di antara mereka ketika ini.

Ditanya mengenai bantuan diberikan kerajaan Malaysia, Nuril berkata kedutaan besar di Bosnia Herzegovina sudah memberi jaminan untuk membawa mereka pulang namun perlu menunggu sehingga tempoh kuarantin tamat, sebagai syarat diberikan pihak berkuasa Montenegro.

“Setakat ini kami semuanya diuji negatif COVID-19 dan masih mengamalkan langkah berjaga-jaga seperti kerap mencuci tangan, memakai topeng muka dan menjaga jarak setiap kali keluar mengambil makanan.

“Alhamdulillah anggota keluarga masing-masing sudah dimaklumkan mengenai keadaan menimpa kami. Doakan kami selamat dan sihat,” katanya

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

MALAYSIA TIDAK IKTIRAF LESEN MEMANDU UNHCR .

Keluhan warga RTC Kelantan tentang peniaga asing