Kedah had waktu operasi kedai makan, serbaneka, pasar raya
Kedah had waktu operasi kedai makan, serbaneka, pasar raya
![](https://s3media.freemalaysiatoday.com/wp-content/uploads/2020/03/MASK-SHOPPING-MALL-FMT-170320-4-1.jpg)
ALOR SETAR: Kerajaan Kedah mengehadkan waktu operasi beberapa premis perniagaan atau perkhidmatan dalam tempoh perintah kawalan pergerakan mulai hari ini.
Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Kerajaan Tempatan dan Perumahan Kedah, Tan Kok Yew berkata, antara premis yang perlu menutup operasi bermula 8 malam ialah yang menjual makanan dan minuman, keperluan haiwan, bengkel, kedai alat ganti, penghawa dingin, kedai runcit dan pasar raya.
“Semua premis itu perlu menutup operasi pada 8 malam, manakala kedai serbaneka 24 jam boleh beroperasi sehingga 10 malam.
“Stesen minyak serta kedai serbaneka di dalam stesen berkenaan boleh beroperasi mengikut kelulusan lesen sedia ada, tetapi digalakkan untuk tutup lebih awal,” katanya dalam kenyataan semalam.
![](https://s3media.freemalaysiatoday.com/wp-content/uploads/2019/07/Tan-Kok-Yew-mugshot-200x200.jpg)
Beliau berkata, langkah itu diambil kerana masih terdapat segelintir masyarakat yang gagal mematuhi perintah berkenaan dan menjalankan aktiviti harian dengan berkumpul, makan dan minum di kedai serta beratur tanpa menjarakkan diri.
“Tindakan ini akan menjejaskan langkah kerajaan dalam membendung penularan Covid-19 yang sedang melanda negara kita. Kita berharap tindakan ini dapat menyedarkan masyarakat tentang kepentingan untuk mendisiplinkan diri, menjaga kebersihan dan keselamatan diri dan keluarga serta komuniti.
“Tinggalkan budaya melepak untuk sementara waktu dan jangan keluar ke mana-mana, kecuali jika sangat diperlukan dan pergi ke tempat terdekat untuk membeli barangan keperluan atau makanan dalam masa singkat.”
Beliau berkata, pihak berkuasa tempatan diarah menempatkan pegawai atau anggota di lapangan seperti pasar raya dan kedai serbaneka sambil memberi nasihat kepada pihak tidak mematuhi arahan.
Ulasan
Catat Ulasan