Polis, tentera kawal pasar dan pasar raya, masuk berperingkat elak sesak - Ismail Sabri

Polis, tentera kawal pasar dan pasar raya, masuk berperingkat elak sesak - Ismail Sabri

22mac2020
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner S Shanmugamoorthy Chinniah memberi taklimat kepada anggota Angkatan Tentera Malaysia mengenai penugasan membantu pihak Polis dalam sekatan jalan raya berikutan Perintah Kawalan Pergerakan. Foto Bernama

ANGGOTA keselamatan akan mula berkawal di kawasan pasar dan pasar raya seluruh negara selepas pemeriksaan mendapati orang ramai masih memenuhi premis berkenaan.

Menteri Kanan (Pertahanan), Datuk Seri Dr Ismail Sabri Yaakob berkata, selain polis dan tentera, pemantauan juga akan melibatkan anggota Pihak Berkuasa Tempatan mengikut daerah masing-masing.

Katanya, setakat ini, pemeriksaan yang dijalankan mendapati pelanggan bersesak memasuki ke premis berkenaan walaupun ketika ini negara menetapkan Perintah Kawalan Pergerakan susulan wabak Covid-19.


"Orang ramai juga gagal jarakkan diri satu meter antara satu sama lain dalam premis berkenaan, jadi kita nasihatkan supaya renggangkan pergerakan.

"Mungkin akan dilaksanakan peraturan untuk memastikan kemasukan secara berkumpulan supaya tidak bertumpu serentak kerana ia membahayakan," katanya pada sidang media pada petang Ahad.

Sidang media itu diadakan selepas Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan di Putrajaya.

Kata Ismail Sabri lagi, kehadiran anggota tentera adalah untuk membantu pihak polis menjalankan tugas mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit.

Malah, beliau menyangkal berita yang disebarkan mengenai anggota tentera yang akan melakukan kawalan menggunakan kereta kebal.

Selain itu, katanya, mesyuarat pagi Isnin akan membincangkan kadar harga siling untuk topeng muka di pasaran negara.

"Perdana menteri sendiri tidak setuju ia dijual pada harga RM2 kerana terlalu tinggi, jadi kita akan bincangkan nanti untuk parasnya diturunkan," katanya.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

MALAYSIA TIDAK IKTIRAF LESEN MEMANDU UNHCR .

Keluhan warga RTC Kelantan tentang peniaga asing