Lelaki maut, isteri terselamat ambil chloroquine konon cegah COVID-19 —SM

Lelaki maut, isteri terselamat ambil chloroquine konon cegah COVID-19 — Suara Merdeka



APABILA Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump mengemukakan beberapa manfaat mengambil chloroquine dalam satu sidang akhbar, seorang lelaki di Arizona, Amerika meninggal dunia selepas menelan chloroquine phosphate kerana ia dipercayai dapat melindungi diri daripada dijangkiti wabak COVID-19.

Walaupun masih tiada ubat yang disahkan mampu menjadi penawar atau pencegah wabak itu, terdapat beberapa kajian yang mencadangkan bahawa bahan tersebut (chloruquine) boleh digunakan untuk tujuan terapi.

Isteri mangsa yang meninggal dunia itu turut mengambil bahan kimia tersebut. Dia kini menerima rawatan di hospital dan berada dalam keadaan kritikal.

Bahan toksik yang diambil oleh pasangan tersebut bukan merupakan ubat yang sering digunakan untuk merawat malaria.

Sebaliknya bahan yang diambil mereka adalah terkandung dalam rawatan parasite yang digunakan untuk ikan.

Dalam satu temubual bersama media tempatan, NBC News, isteri mangsa mendapat tahu tentang bahan itu apabila Presiden Trump telah mengemukakan beberapa manfaat mengambil chloroquine.

“Saya lihat (rawatan parasite ikan) terletak di rak dan terfikir, bukankah itu bahan yang disebut di televisyen,” kata isteri mangsa.

Justeru pasangan dalam lingkungan usia 60-an itu mencampurkan chloroquine bersama cecair lain untuk diminum, dengan harapan untuk mengelak daripada dijangkiti coronavirus.

Hanya dalam tempoh masa 20 minit, kedua-dua mereka mula merasa sakit dan pening.

“Saya mula muntah, suami pun mula mengalami masalah pernafasan,” kata isteri mangsa sambil mengakui, mereka takut sekiranya jatuh sakit.

Susulan itu, wanita tersebut menghubungi talian kecemasan dan sejurus tiba di hospital, suaminya meninggal dunia. – SM

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Sedih apabila melihat dua keadaan berbeza di Pasar Borong Selayang.

kkm tarik keluar 10 ubat gastrik risiko kanser