Individu bujang pendapatan bawah RM2k dapat RM800
KUALA LUMPUR: Kerajaan akan memberi bantuan sebanyak RM800 kepada 3 juta individu bujang berusia 21 tahun keatas yang berpendapatan bulanan RM2,000 kebawah.
Bantuan tersebut akan diberikan secara berperingkat mulai April ini sebanyak RM500 dan bakinya RM300 pada bulan seterusnya, Mei.
Menurut Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, beliau maklum dan faham bahawa dalam keadaan negara menghadapi krisis akibat serangan jangkitan wabak Covid-19, sebahagian besar rakyat terjejas sumber pendapatan.
Justeru itu, kata beliau, untuk meringankan beban rakyat, kerajaan akan menyediakan Bantuan Prihatin Nasional, iaitu pemberian tunai secara one-off dengan peruntukan hampir RM10 bilion.
“One-off RM800 kepada individu bujang akan disalurkan melalui Bantuan Prihatin Nasional dan kali ini buat pertama kali kerajaan akan turut menyalurkan bantuan kepada golongan M40.
“Mereka ini termasuk pekerja swasta, peneroka FELDA, petani, nelayan, peniaga kecil dan semua yang tergolong dalam kumpulan M40 dan ke bawah,” ujarnya.
Muhyiddin berkata demikian ketika mengumumkan Pakej Ransangan Ekonomi Ransangan Rakyat Prihatin di Putrajaya, hari ini.- HARAKAHDAILY 27/3/2020
Ulasan
Catat Ulasan