Pemberian wang tunai one-off untuk semua termasuk M40

Pemberian wang tunai one-off untuk semua termasuk M40

27 Mac. 2020

Penduduk, Mohalim Isman (dua kanan) ditemani isteri, Jahenab Maryani dan anak, Nurafifi Athirah Mohalim serta menantu, Khairul Hazwan Jasni mengikuti pengumuman khas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai Pakej Rangsangan Ekonomi, Prihatin Rakyat ketika Perintah Kawalan Pergerakan berikutan penularan wabak Covid-19 ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Kampung Baru, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 27 MAC 2020


KUALA LUMPUR – Menepati janji untuk tidak meminggirkan sesiapa pun dalam pakej rangsangan ekonomi, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengumumkan peruntukan hampir RM10 bilion untuk pemberian tunai secara one-off bagi meringankan beban rakyat yang terjejas akibat wabak Covid-19.

Dan buat pertama kalinya, menurut Perdana Menteri, kerajaan menyalurkan pemberian tunai kepada kumpulan M40.

Menurut Muhyiddin, Bantuan Prihatin Nasional itu meliputi pekerja swasta, peneroka FELDA, petani, nelayan, peniaga kecil dan semua yang tergolong dalam kumpulan M40 dan ke bawah.

Jumlah bayaran yang akan dibuat ialah:

Pertama: RM1,600 kepada hampir 4 juta isi rumah yang berpendapatan bulanan RM4,000 dan ke bawah. Bayaran RM1,000 akan dibayar pada bulan April 2020 dan RM600 pada bulan Mei

Kedua: RM1,000 kepada hampir 1.1 juta isi rumah yang berpendapatan lebih RM4,000 hingga RM8,000 yang akan dibayar pada bulan April 2020 sebanyak RM500 dan baki RM500 pada bulan

Ketiga: RM800 kepada 3 juta individu bujang berusia 21 tahun ke atas dan berpendapatan bulanan RM2,000 dan ke bawah. Bayaran RM500 akan dibayar pada bulan April 2020 dan baki RM300 pada bulan Mei

Keempat: RM500 kepada 400,000 individu bujang berusia 21 tahun ke atas yang berpendapatan bulanan lebih RM2,000 hingga RM4,000. Bayaran sebanyak RM250 akan dibuat pada bulan April 2020 dan baki RM250 pada bulan Mei.

“Saya faham bahawa dalam keadaan bencana seperti yang kita sedang hadapi ini, sebahagian besar daripada saudara-saudari terjejas dari segi sumber pendapatan.

“Untuk meringankan beban anda, kerajaan akan menyediakan Bantuan Prihatin Nasional, iaitu pemberian tunai secara one-off dengan peruntukan hampir RM10 bilion, dan buat pertama kalinya akan disalurkan juga kepada kumpulan M40,” katanya dalam perutusan khas yang disiarkan secara langsung hari ini.

Menurut Perdana Menteri, baki pemberian tunai di bawah program Bantuan Sara Hidup (BSH) yang sedang dilaksanakan akan dibayar pada Julai 2020 melibatkan peruntukan sebanyak RM3.2 bilion.

Beliau juga tidak melupakan para pelajar institusi pengajian tinggi di mana mereka akan menerima bantuan secara one-off sebanyak RM200 seorang yang akan dibayar pada Mei 2020.

“Bantuan ini melibatkan peruntukan sebanyak RM270 juta kepada pelajar di pelbagai peringkat pengajian tinggi termasuk matrikulasi, Kolej Komuniti, Politeknik, IPTA dan IPTS,” katanya.

Bantuan Prihatin Nasional juga memfokuskan kepada golongan mudah terjejas seperti warga emas dan kanak-kanak di rumah perlindungan, orang kelainan upaya atau OKU pula, golongan gelandangan dan orang asal.

Menurut Muhyiddin, Kerajaan akan bekerjasama dengan NGO dan usahawan sosial yang berkaitan untuk menyalurkan bantuan makanan, barangan penjagaan kesihatan dan tempat perlindungan untuk mereka dengan peruntukan sebanyak RM25 juta. – MalaysiaGazette

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

MALAYSIA TIDAK IKTIRAF LESEN MEMANDU UNHCR .

Keluhan warga RTC Kelantan tentang peniaga asing