2.4 Juta Orang Akan Hilang Pekerjaan, Ekonomi Malaysia Dijangka Menguncup 2.9%

2.4 Juta Orang Akan Hilang Pekerjaan, Ekonomi Malaysia Dijangka Menguncup 2.9%


26 Mac 2020

Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia ( MIER ) pada semalam mengunjurkan ekonomi negara akan menguncup 2.9% pada tahun ini akibat Covid-19 berbanding tahun lalu. Perintah Kawalan Pergerakan ( PKP ) dilihat telah memberikan impak yang besar buat ekonomi negara yang kini dilanjutkan kepada tempoh 28 hari.

Institut ini juga menjangkakan seramai 2.4 juta pekerjaan akan hilang dengan kebanyakkan pekerjaan tidak bergaji. 67% dari pekerjaan yang hilang ini adalah pekerjaan-pekerjaan berkemahiran rendah. Pendapatan isi rumah turut dijangka jatuh 12% ataupun kira-kira RM95 bilion sekaligus mengurangkan perbelanjaan pengguna sebanyak 11%.

Mereka turut menjangkakan bahawa kadar inflasi menurun sebanyak 4.4%. Ini berkemungkinan besar berpunca daripada kejatuhan harga minyak global yang telah menurunkan harga petrol di pam kepada RM1.44 seliter berbanding RM2.08 seliter pada 6 Mac yang lalu. Ini bermaksud harga petrol di Malaysia telah turun sebanyak 31% dalam tempoh beberapa minggu dan dijangka akan terus jatuh dalam tempoh yang akan datang jika kerajaan meneruskan sistem apungan harga petrol sedia ada.

Sehingga kini, terdapat 2031 kes positif Covid-19 dicatatkan dengan jumlah kematian seramai 23 orang. PKP yang dilanjutkan kepada 28 hari akan memberikan kesan langsung sekurang-kurang RM56 bilion ( dengan andaian pengurangan pengeluaran sebanyak 50% ) berdasarkan purata KDNK negara yang berjumlah RM4 bilion sehari.

Pasaran Saham Kuala Lumpur telah jatuh 15.6% dari 1573 mata pada 24 Januari 2020 kepada 1328 mata pada 26 Mac 2020. Nilai matawang Ringgit pula jatuh 6.3% dari RM4.07 bagi setiap dolar Amerika kepada RM4.33 dalam tempoh yang sama.

Ramai pihak telah menyuarakan kegusaran mereka apabila PKP diumumkan kerana ia memberi kesan kepada punca pendapatan mereka. Data menunjukkan seramai 1.7 juta pekerja memperoleh pendapatan bulanan kurang dari RM5,000 dan bekerja sendiri.

Golongan ini sememangnya yang paling terjejas dan kurang dilindungi oleh sistem keselamatan sosial di negara ini. Kebanyakkan mereka tidak mempunyai caruman KWSP yang membenarkan mereka untuk mengeluarkan RM500 sebulan mulai 1 April untuk tempoh 12 bulan. Bahkan, kajian oleh Institut Penyelidikan Khazanah turut menyatakan bahawa lebih 40% pencarum KWSP tidak mempunyai lebih dari RM6,000 di dalam akaun 2 KWSP mereka.

Sehingga kini, pelbagai langkah telah diambil oleh kerajaan dalam mengurangkan beban rakyat termasuklah mengumumkan penangguhan bayaran balik pinjaman untuk tempoh enam bulan yang melibatkan bayaran balik sebanyak RM100 bilion.

Meskipun begitu, sehingga kini, tiada sebarang langkah diambil kerajaan dalam menangani isu dan permasalahan yang dihadapi oleh golongan bawahan yang paling terdedah ini. Kajian Bank Negara pada 2015 menunjukkan 75% daripada keseluruhan rakyat Malaysia tidak mampu mencari RM1,000 jika mereka berada di dalam keadaan kecemasan.

Perkara ini tidak mengejutkan, data penyimpan Amanah Saham Bumiputera pada tahun 2018 turut memberikan petunjuk yang serupa. Sekitar 77% penyimpan ASB hanya mempunyai purata simpanan sebanyak RM554.

Penyelidik ekonomi, Zouhair Rosli ketika dihubungi turut menyuarakan rasa bimbang terhadap situasi semasa ;

” Setakat ini, 1 dari 4 pekerja di Malaysia adalah mereka yang bekerja di sektor yang berkait-rapat dengan sektor pelancongan bersamaan dengan 3.5 juta atau 25% daripada jumlah pekerja di Malaysia.

Daripada jumlah ini, 3 dari 4 empat atau 75% bekerja di sektor perkhidmatan penginapan, penyediaan makanan dan minuman, dan perdagangan runcit. Mereka ini bakal terdedah kepada tiga kemungkinan:

1) kehilangan pekerjaan;

2) dipaksa oleh majikan untuk mengambil cuti tanpa gaji;

3) atau juga terpaksa mengambil gaji yang lebih sedikit akibat daripada pengurangan waktu kerja atau operasi.

Setakat 20 Mac 2020, 1 dari 5 pekerja-pekerja di sektor perkhidmatan penginapan sudah kehilangan pekerjaan dan ada juga yang diminta untuk mengambil cuti tanpa gaji. Ini belum di ambil kira pekerja di sektor perkhidmatan yang lain. Kita mempunyai seramai 7.1 juta pekerja yang bekerja di syarikat-syarikat kecil dan mikro.

Perniagaan ini adalah yang bakal terjejas teruk dengan situasi sekarang. Di China, lebih 30% daripada jumlah syarikat PKS mereka telah bungkus sama sekali pada bulan kedua akibat daripada wabak Covid-19 ini. Di Malaysia, jika 5% daripada jumlah PKS kita gulung tikar, hampir 500,000 pekerja bakal kehilangan pekerjaan.

Kebanyakan mereka yang telah dan akan terjejas adalah daripada golongan berpendapatan rendah dan sederhana, dan pemilik perniagaan PKS. Ini akan memberi impak yang besar kepada ekonomi negara. Jumlah perbelanjaan swasta di Malaysia telah menyumbang sebanyak hampir 60% kepada ekonomi negara.

Dalam kata lain, daripada RM100 pengeluaran dalam negara, hampir RM60 dijana oleh perbelanjaan swasta. Setakat ini sekitar 62% daripada jumlah perbelanjaan swasta di Malaysia dijana oleh golongan berpendapatan rendah dan menengah.

Kerajaan haruslah berbelanja sekitar RM47 billion bersamaan dengan 3.3% daripada jumlah KDNK untuk tempoh tiga bulan akan datang (April-Jun) khas kepada golongan-golongan yang terjejas; golongan berpendapatan rendah dan pemilik perniagaan PKS.

Jumlah perbelanjaan ini mampu mengurangkan impak negatif wabak Covid-19 kepada ekonomi rakyat khasnya dan keseluruhan ekonomi amnya.

Jika ekonomi rakyat terkesan baik dari segi pendapatan atau perbelanjaan, ekonomi juga akan turut terjejas. Keutamaan harus diberikan kepada golongan-golongan ini.

Sumber perbelanjaan kerajaan dapat diperoleh daripada perbelanjaaan luar belanjawan tanpa perlu merisaukan tentang defisit perbelanjaan negara. Cara ini tidak akan menjejaskan defisit perbelanjaan negara. Perbelanjaan luar belanjawan yang jelas dapat memberi manfaat yang besar kepada rakyat adalah lebih bagus daripada perbelanjaan luar belanjawan yang hanya membelanjakan duit kepada projek-projek mega dan mewah yang tidak memberi manfaat yang besar kepada rakyat.

Di dalam keadaan sebegini, hanya satu institusi yang masih berjalan dan boleh digerakkan semaksimum mungkin, iaitu institusi kerajaan. Institusi lain seperti institusi isi rumah dan syarikat swasta sudah lumpuh dan tidak dapat digerakkan sepenuhnya.

Justeru, kerajaan haruslah memainkan peranan untuk memastikan institusi lain seperti isi rumah dan syarikat PKS kekal utuh dan tidak teruk terjejas. Ini akan memastikan situasi selepas krisis wabak Covid-19 ini dapat digerakkan semula dalam keadaan yang tidak terlalu teruk, jika tidak seperti sebelumnya.

Apa yang kerajaan harus lakukan hanyalah dengan dua cara: 1) Bertindak dengan pantas; 2) Lakukan apa sahaja yang boleh. Bukan dengan memeras duit simpanan rakyat yang disimpan untuk digunakan di hari tua. ” katanya lagi.

Kerajaan akan mengumumkan pakej rangsangan ekonomi pada Jumaat yang dijangka akan memperuntukkan puluhan bilion ringgit bagi membantu rakyat mengharungi beberapa minggu lagi PKP serta sebagai persiapan untuk meredah suasana ekonomi pasca-Covid-19.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Sedih apabila melihat dua keadaan berbeza di Pasar Borong Selayang.

kkm tarik keluar 10 ubat gastrik risiko kanser