Pemandu teksi dakwa hilang 100% pendapatan akibat perintah kawalan pergerakan

FMT Reporters - March 22, 2020

Perintah kawalan pergerakan PKP memberi kesan yang sangat buruk kepada pendapatan pemandu teksi.

PETALING JAYA: Pemandu teksi mendakwa industri itu terjejas teruk sehingga hilang 100% pendapatan akibat wabak Covid-19, terutama perintah kawalan pergerakan (PKP) yang diumum kerajaan.

Yang Dipertua, Gabungan Pertubuhan Teksi, Kereta Sewa, Limosin dan Teksi Lapangan Terbang Semalaysia (GTSM), Kamarudin Mohd Hussain merayu kerajaan memberi bantuan susulan masalah yang dihadapi mereka.

Kumpulan itu juga merayu, pemandu teksi dikecualikan bayaran sewaan harian RM50 kepada syarikat ketika tempoh PKP berjalan.

“Perintah kawalan pergerakan yang bermula 18 Mac yang lalu bukan sahaja merencatkan ekonomi negara, malah turut memberi kesan yang sangat buruk kepada pendapatan kami.

“Kami bukan sahaja kehilangan pendapatan 100%, malah dalam ketiadaan penumpang kami masih diwajibkan menjelaskan sewaan harian sekurang-kurangnya RM50 kepada syarikat teksi.

“Sehubungan dengan itu, kami merayu kepada kerajaan agar membantu kami, dan kami berharap pihak syarikat dapat mempertimbangkan keadaan kami dan memberi pelepasan khas kepada kami,” katanya dalam satu kenyataan.

Kamarudin berkata, pihaknya juga kesal dengan Perkeso apabila tidak mendapat sebarang pembelaan ketika waktu sukar sedangkan mereka diwajibkan mencarum.

“Kononnya demi memberi perlindungan keselamatan sosial kepada kami, dan jika kami gagal melakukan caruman kami boleh dikenakan tindakan penjara selama 2 tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

“Malangnya ahli kami bukan sahaja sering menghadapi kesukaran dalam membuat sesuatu tuntutan, malah jawapan Perkeso berhubung isu Covid 19 kepada kami benar-benar mengecewakan.

“Kami dimaklumkan Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) yang diperkenalkan kepada kami bukan sahaja tidak mempunyai skim keilatan, malah tidak mempunyai Program Pengekalan Pekerjaan (ERP), sekaligus tidak melayakkan kami yang mencarum di Perkeso mendapatkan bantuan RM600 yang diumumkan oleh Perkeso baru-baru ini.

“Kami berharap kerajaan dapat melihat perkara ini dan memberi perhatian khusus serta meneliti semula pelan yang diperkenalkan Perkeso kepada kami,” katanya.


KUALA LUMPUR – Seorang pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM) hari ini disahkan positif COVID-19, menjadikan jumlah pelajar universiti tersebut yang sedang menerima rawatan akibat penularan wabak itu ialah tiga orang.

Naib Canselor UITM Profesor Emeritus Datuk Dr Mohd Azraai Kassim berkata pelajar itu, yang kini dirawat di Hospital Kuala Lumpur, telah dijangkiti melalui ayahnya yang disahkan positif COVID-19.

Beliau berkata bapa pelajar itu mendapat jangkitan daripada kontak iaitu saudaranya yang menyertai perhimpunan Ijtimak Tabligh di Masjid Sri Petaling di sini.

Katanya pelajar itu telah menghadiri kuliah pada 15 Mac lepas dan apabila disahkan positif COVID-19, beliau telah memaklumkan keadaan dirinya yang dijangkiti kepada pensyarah.

“Sehubungan itu, pihak UiTM melalui Pusat Gerakan COVID-19 dan Pusat Kesihatan UiTM telah memaklumkan keadaan pelajar tersebut kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan telah mengambil tindakan sewajarnya kepada mereka yang terlibat,” menurutnya dalam kenyataan malam ini.

Mohd Azraai berkata kontak rapat pelajar itu telah dikenal pasti oleh pihak UiTM dan mereka menjalani saringan COVID-19 di Pusat Kesihatan Daerah Kepong.

Selain itu, pihak UiTM telah melakukan kerja-kerja pembersihan dan pembasmian kuman di kelas serta kawasan berkaitan sebagai langkah keselamatan bagi mengelak virus tersebut tersebar.

“Semua pelajar dan staf tidak perlu bimbang terhadap keselamatan mereka kerana UiTM telah mengambil langkah pencegahan penyakit berjangkit dan kawalan jangkitan yang sepatutnya.

“Mereka juga telah disarankan untuk mengikuti arahan dan nasihat pihak pengurusan UiTM dan KKM dari semasa ke semasa,” katanya.


Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Sedih apabila melihat dua keadaan berbeza di Pasar Borong Selayang.

kkm tarik keluar 10 ubat gastrik risiko kanser