Inilah 5 Ciri Minyak Enjin yang Baik untuk Motosikal Anda

Kebanyakan motosikal 4-lejang memiliki kurang minyak enjin berbanding kereta, dan minyak itu bukan bekerja dalam enjin semata-mata, tetapi juga berfungsi melindungi tekanan atau stres ke atas kotak gear, dan melancarkan operasi klac. Maknanya, minyak enjin motosikal perlu bekerja lebih keras berbanding kereta.
Jadi, apakah ciri minyak enjin motosikal yang baik?
1. PERLINDUNGAN SUHU TINGGI
Minyak enjin bukan saja terdedah kepada suhu operasi setiap kali motosikal dihidupkan, malah cuaca panas turut mempengaruhi ketahanan dan kualiti bendalir. Apatah lagi fizikal enjin motosikal memang sedia terdedah secara langsung kepada suhu sekeliling. Minyak enjin yang baik mampu menangani ancaman suhu tinggi.
2. KEKALKAN KUASA
Setiap penunggang sentiasa mahukan jentera yang ditunggangi dapat beroperasi pada tahap paling optimum. Tetapi, tahukah anda dalam banyak kes mengenai prestasi motosikal, penggunaan minyak enjin berkualiti memang memainkan peranan penting dalam menentukan prestasi jentera.
Minyak enjin yang baik mampu mengelak berlaku masalah kehilangan atau susut kuasa walaupun motosikal ditunggang dalam tempoh lama.
3. PERTINGKAT PENJIMATAN MINYAK
Siapa pula yang tidak mahu motosikal yang jimat minyak? Lagi jimat, lagi bagus. Faktanya, penggunaan minyak enjin yang baik mampu meningkatkan tahap penjimatan bahan api motosikal sekurang-kurangnya hingga 5km per liter mengatasi minyak mineral biasa.
4. BERSIHKAN PISTON
Semakin bersih enjin, semakin bagus prestasi motosikal. Enjin yang bersih pula bergantung kepada minyak enjin terbaik, tanpa mengetepikan aspek penyenggaraan. Minyak enjin motosikal yang baik juga mampu menawarkan kualiti kelikatan (viscosity) berpanjangan selain memiliki aditif khas untuk menyingkirkan karbon, serbuk besi dan bendasing lain yang disebabkan suhu operasi enjin.
5. PANJANGKAN JANGKA HAYAT ENJIN
Haus dan lusuh (wear and tear) ialah masalah biasa yang pasti dihadapi mana-mana pemilik motosikal. Masalah ini sangat bergantung kepada cara dan kekerapan penggunaan motosikal, termasuk kepekaan mematuhi jadual penyenggaraan.
Minyak enjin pula termasuk dalam komponen penyenggaraan yang memang disahkan pakar automotif sebagai mampu memanjangkan jangka hayat motosikal. Semakin baik minyak enjin digunakan, maka semakin baik perlindungan yang diberikan, sekali gus meningkatkan potensi jangka hayat motosikal.





Ulasan
Catat Ulasan