Terbaru Dua bot Rohingya tunggu 'line clear' ceroboh masuk Malaysia
PASUKAN Polis Marin (PPM) menerima maklumat ada dua bot dinaiki etnik Rohingya kini berada di kawasan perairan negara jiran dan menunggu masa untuk menceroboh masuk ke Malaysia.
Komander PPM Bukit Aman Senior Asisten Komisioner Mohd Yusof Mamat berkata, selepas insiden cubaan 200 pendatang asing tanpa izin (PATI) etnik Rohingya menyeludup masuk ke negara ini menerusi perairan Langkawi berjaya dipatahkan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), pihaknya menerima maklumat masih terdapat bot lain sedang cuba masuk ke sini.
Menurutnya, buat masa ini, mereka tidak berani masuk ke Malaysia selepas semua agensi membabitkan PPM, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengetatkan kawalan di perairan negara.
“Apa yang kita terima memang ada dua bot lagi berada di perairan negara jiran.
“Namun disebabkan kawalan ketat ini dengan tiga lapisan daripada ATM, APMM dan PPM menyebabkan mereka tidak berani masuk ke negara ini untuk berlabuh,” katanya.
Terdahulu pada 16 April, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) berjaya mematahkan cubaan kira-kira 200 PATI etnik Rohingya menyeludup masuk ke negara ini menerusi perairan Langkawi.
TUDM dalam satu kenyataan menerusi Facebook berkata, bot dinaiki PATI itu dikesan pesawat TUDM di kedudukan 70 batu nautika iaitu 129.6 kilometer (km) dari barat Pulau Langkawi.
“Pesawat TUDM seterusnya menghubungi kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) iaitu KD Lekiu dan KD Lekir yang terus digerakkan ke lokasi itu.
“Kedua-dua kapal itu kemudian berjaya memintas bot berkenaan dengan bantuan helikopter Super Lynx TLDM bagi mengekang pergerakan bot PATI itu,” katanya.
Menurutnya, atas dasar kemanusiaan anak kapal KD Lekiu mengagihkan bekalan makanan kepada kumpulan warga asing berkenaan sebelum mengiringi bot berkenaan keluar dari memasuki perairan negara.
“Dengan keadaan penempatan serta kehidupan yang daif di tempat asal mereka, adalah sangat dibimbangi kumpulan PATI yang cuba memasuki Malaysia sama ada melalui jalan darat atau laut akan membawa kluster baharu Covid-19.
“Operasi pengawasan maritim udara ini akan terus dipergiatkan tambahan di dalam krisis dunia yang dilanda pandemik Covid-19 yang menjadikan Malaysia sebagai tumpuan kumpulan PATI,” katanya.
Ulasan
Catat Ulasan