Berinteraksi dengan Menteri Wilayah Persekutuan melalui Talian Pertiwi
Kementerian Wilayah Persekutuan hari ini melancarkan talian ‘Pertanyaan dan Pengaduan kepada Menteri Wilayah Persekutuan’ (Pertiwi) sebagai platform warga kota berinteraksi secara terus dengan menteri.
Menterinya, Tan Sri Annuar Musa berkata mereka boleh mengajukan sebarang cadangan, pandangan atau aduan rakyat di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan menerusi saluran WhatsApp iaitu 013-6806 666 dan 013-6887 777.
“Saya mengilhamkan satu kaedah begini yang mana semua orang di luar sana boleh kemukakan pertanyaan secara langsung kepada saya. Mungkin nak ajukan soalan kepada ketua jabatan agak sukar kerana masing-masing sibuk dengan tanggungjawab mereka.
“Maka dengan saluran ini juga, saya sebagai Menteri Wilayah Persekutuan pun dapat memahami dengan lebih jelas masalah mereka seterusnya dapat menyelesaikannya secara efektif,” katanya ketika siaran langsung Facebook di sini hari ini.
Beliau berkata orang ramai boleh mengajukan soalan menerusi WhatsApp dalam Bahasa Melayu, Inggeris, Mandarin atau Tamil.
“Kami mempunyai pegawai yang boleh membantu menterjemahkannya dari Bahasa Mandarin dan Tamil serta cuba sedaya upaya untuk memberi maklum balas secepat mungkin. Namun ia bergantung juga kepada isu kerana sesetengahnya kami perlu tujukan kepada jabatan-jabatan dan agensi terlibat,” katanya.
Sumber Suara Merdeka. Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.
Ulasan
Catat Ulasan