Staf KTMB langgar SOP, MOT beri teguran tegas

Staf KTMB langgar SOP, MOT beri teguran tegas

Kementerian Pengangkutan kesal dengan insiden Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) menempatkan penumpang dalam gerabak yang padat semalam.-Gambar hiasan.


KUALA LUMPUR- Kementerian Pengangkutan (MOT) kesal dengan insiden Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) menempatkan penumpang dalam gerabak yang padat semalam.


Kementerian itu dalam satu kenyataan berkata, teguran tegas telah diberikan kepada kakitangan dan pegawai yang membiarkan pelanggaran terhadap garis panduan kesihatan semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini.


Kementerian Pengangkutan dan KTMB akan terus memantau situasi bagi memastikan kejadian sama tidak berulang dan keselamatan serta kesihatan penumpang sentiasa diutamakan.


“KTMB juga telah memberikan jaminan bahawa pihaknya akan melaksanakan langkah-langkah kawalan yang lebih ketat termasuk menghadkan jumlah penumpang di pintu masuk sebelum dibenarkan berada di platform menaiki tren.


“Kementerian Pengangkutan dan KTMB ingin memohon maaf kepada orang ramai dan mengingatkan kepada semua supaya sentiasa mematuhi garis panduan KKM semasa PKP, termasuk mengamalkan penjarakan sosial sekurang-sekurangnya satu meter dan memakai topeng muka sebelum menggunakan perkhidmatan tren,” katanya.


Semalam, perkhidmatan tren KTM Komuter dari Pelabuhan Klang ke Tanjung Malim terpaksa dihentikan setelah mengalami masalah teknikal pada 6.17 pagi.


Tren yang asalnya mempunyai enam gerabak dengan kepadatan penumpang hanya 50 peratus terpaksa ditukar menjadi tiga gerabak sehingga menyebabkan para penumpang terpaksa berhimpit dalam koc yang kecil.


Ini sekali gus melanggar prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).- MalaysiaGazette


Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Covid-19: Penumpang bas ekspress Seremban-Sungai Petani dirayu tampil

((Live)) MPKj Laksana Tindakan SITA KEATAS Premis Perniagaan Warga Asing

Bos Bangla pukul staff warga tempatan