Semua PATI akan dihantar pulang ke negara asal

Semua PATI akan dihantar pulang ke negara asal


KUALA LUMPUR:Semua pendatang asing tanpa izin (PATI) di negara ini yang disahkan negatif COVID-19 ketika ditahan di Depoh Tahanan Imigresen (DTI) akan dihantar pulang ke negara asal.

Operasi memburu PATI akan diteruskan walaupun ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) berkuat kuasa bagi membolehkan pihak berkuasa membuat saringan kesihatan dan memastikan status kesihatan berkaitan COVID-19.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, yang mempengerusikan Mesyuarat Khas Pengurusan Pendatang Tanpa Izin pagi tadi berkata, Kementerian Luar akan berbincang dengan rakan sejawat negara berkaitan berhubung urusan membawa pulang rakyat mereka.

"Antara perkara lain yang diputuskan dalam mesyuarat itu juga adalah saringan COVID-19 (ujian swab) dilakukan ke atas semua pendatang tanpa izin di Depoh Imigresen KLIA, Bukit Jalil dan Semenyih," katanya dalam sidang media harian Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di sini, hari ini.

Ismail Sabri berkata, PATI yang positif (COVID-19) akan dihantar ke MAEPS (Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang). Mereka yang negatif setelah menjalani kuarantin dan dirawat di MAEPS perlu dihantar pulang ke negara masing-masing.

Dalam perkembangan berkaitan, Ismail Sabri berkata selain MAEPS, kerajaan turut menambah dua lagi hospital yang akan dikhaskan untuk merawat pendatang tanpa izin positif COVID-19 iaitu Hospital Kusta Sungai Buloh dan Bangunan Wad Bersalin Lama, Hospital Kuala Lumpur.

Semua pusat rawatan berkenaan dijangka mampu menampung seramai 1,430 pesakit dalam kalangan pendatang tanpa izin yang positif COVID-19.

Sementara itu, Ismail Sabri menegaskan tidak timbul isu diskriminasi terhadap golongan PATI di negara ini kerana tindakan kerajaan adalah untuk menjaga kepentingan rakyat yang majoritinya mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) PKPB bagi mengekang penularan COVID-19.

"Mereka perlu sedar pendatang tanpa izin adalah mereka yang memasuki negara secara haram. Saya tidak tahu (jika ada) mana-mana negara dalam dunia ini yang membenarkan mereka yang masuk secara haram tanpa dokumen sah bebas bergerak ke mana-mana sahaja. Tidak ada.

"Mereka yang masuk secara haram adalah salah di sisi undang-undang dan boleh ditangkap. Itu jelas dalam undang-undang. Jadi tidak timbul isu. Kalau mereka tidak ditangkap dan positif, tentunya golongan ini akan menyebarkan virus kepada rakyat yang tidak bersalah," katanya.

Ismail Sabri menjelaskan tindakan menangkap pendatang tanpa izin dapat mengekang penularan wabak COVID-19 di negara ini dan seterusnya melindungi keselamatan rakyat keseluruhannya.

Semalam, dilaporkan 227 pendatang tanpa izin yang ditahan di tiga Depot Tahanan Imigresen - Bukit Jalil, KLIA Sepang dan Semenyih, didapati positif COVID-19.


Kredit mindarakyat.blogspot.com

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

MALAYSIA TIDAK IKTIRAF LESEN MEMANDU UNHCR .

Keluhan warga RTC Kelantan tentang peniaga asing