Kemalangan ngeri lori tangki dan van, mangsa terperangkap
LALUAN Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dekat Behrang sesak berikutan kemalangan membabitkan lori tangki dan van kawalan keselamatan di Kilometer 389.4 arah utara, tengah hari tadi.
Tinjauan mendapati lori tangki itu merempuh penghadang tengah lebuh raya menyebabkan sebahagian kenderaan itu terbabas ke laluan bertentangan.
Difahamkan, pasukan bomba dan penyelamat sedang berusaha menyelamatkan mangsa kemalangan iaitu tiga individu yang berada dalam van keselamatan.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri berkata, bomba menerima panggilan kecemasan jam 12.33 tengah hari tadi.
Katanya, sepasukan pegawai dan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tanjung Malim dikejarkan ke tempat kejadian sebaik menerima laporan.
“Kemalangan membabitkan lori tangki yang membawa muatan diesel dengan sebuah van yang membawa wang.
“Pemandu lori tangki selamat manakala seorang mangsa berjaya dikeluarkan dari van keselamatan itu dan mengalami kecederaan ringan. Dua lagi masih berada dalam van terbabit,” katanya dalam satu kenyataan.
Ulasan
Catat Ulasan