RM3.5 juta sebulan kos makanan tahanan PATI


SERDANG: Sejumlah RM3.5 juta terpaksa dibelanjakan kerajaan hampir setiap bulan bagi menampung kos makanan pendatang asing tanpa izin (PATI) di 14 depot tahanan imigresen di seluruh negara.


Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud, berkata berdasarkan angka itu, kerajaan menanggung purata kos makanan RM12 sehari bagi setiap tahanan, dengan kebanyakan mereka terpaksa berada di depot antara satu atau dua bulan sebelum dihantar pulang ke negara asal.

“Kos perbelanjaan ditanggung kerajaan itu bagi memastikan hak asasi PATI terpelihara dan perkara itu turut dilaksanakan di semua depot imigresen di luar negara.

“Pengurangan kos makanan dapat diatasi sekiranya proses dokumen perjalanan yang disediakan pihak kedutaan berkaitan dapat dilaksanakan dengan cepat,” katanya ketika ditemui pada Majlis Hari Raya Aidilfitri Kementerian Dalam Negeri (KDN), di sini.

Beliau berkata, Jabatan Imigresen menjalinkan kerjasama dengan pihak kedutaan untuk mempercepatkan proses mengeluarkan dokumen perjalanan untuk pendatang tanpa izin itu dihantar pulang dan perkara ini dapat mengurangkan bilangan penghuni di depot.

Sehingga 18 Jun lalu, seramai 9,654 PATI ditahan di 14 depot seluruh negara, masing-masing 7,650 lelaki dan 1,664 wanita, manakala selebihnya kanak-kanak.

Khairul Dzaimee berkata, PATI dengan jumlah tertinggi ialah rakyat Indonesia seramai 3,767 orang diikuti Myanmar (2,105), Bangladesh (1,594), India (525), Vietnam (294), Pakistan (263), Thailand (226), Filipina (222), Nepal (193), Nigeria (150) dan lain-lain warganegara (315).

Katanya, sebanyak 8,277 operasi dilaksanakan Jabatan Imigresen sejak awal tahun ini hingga Selasa lalu, dengan keseluruhannya 103,224 orang warga asing diperiksa.

“Empat depot iaitu di Bukit Jalil, Kuala Lumpur; Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang; Lenggeng, Negeri Sembilan dan Juru, Pulau Pinang mengalami lebihan tahanan PATI berbanding kapasiti depot yang direkodkan sehingga 18 Jun lalu.

“Kita cuba mempercepatkan proses untuk menghantar mereka pulang ke negara masing-masing serta memindahkan mereka ke depot yang berdekatan bagi mengelak kesesakan,” katanya. - BERNAMA

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

MALAYSIA TIDAK IKTIRAF LESEN MEMANDU UNHCR .

Keluhan warga RTC Kelantan tentang peniaga asing