Suara #abangku Pasir Salak menggegar bumi Malaysia
Suara #abangku Pasir Salak menggegarkan bumi Malaysia
Aku pernah bertemu Dato’ Sri Tajuddin Abdul Rahman (DSTR), Ahli Parlimen Pasir Salak sejak 2008. Tujuan aku bertemu dengannya adalah untuk mengenali siapa sebenarnya DSTR dan mendengar sendiri pandangannya mengenai Penyatuan Ummah (PU). Tulisan aku ini bukanlah sangat untuk mengulas panjang mengenali PU, tetapi lebih kepada penilaian aku mengenai insan kontroversi yang pertama kali aku berhadapan dan berbicara, DSTR.
Kenapa aku memilih untuk bertemu dengannya?
Kita lihat DSTR, bekas Timbalan Menteri Pertanian dan Asas Tani, adalah seorang yang cukup vocal atau lantang bersuara ketika di Parlimen. Beliau juga adalah perintis kepada penyatuan Melayu. Beliau sedikit berbeza berbanding dengan Ahli Parlimen yang lain kerana beliau sinonim dengan perjuangan bangsa Melayu. Itu persepsi aku.
Dari mata kasar semua, ramai yang menganggap bahawa DSTR adalah seorang yang bengis, beremosi, garang, sukar mengawal baran dan tegas. Beliau juga sering kelihatan seperti seorang yang sukar untuk bertolak ansur dalam beberapa isu.
Pertama kali berdiri bersalaman dengannya, fikiran aku sedikit terganggu. Benar, beliau tampak garang. Renungannya mirip arwah abang sulung aku. “Apa tujuan nak jumpa”, itu soalan pertamanya.
Aku tergamam. Fikiran aku melayang mengenangkan arwah abang aku. Walau pun tidak seiras, sikit-sikit tu adalah. Matanya tepat memandang aku. Dalam hati aku berbisik, bertemu jugak aku dengan pahlawan Melayu ini. Aku menjawab, “Penyatuan Ummah”.
DSTR ini agak berbeza dengan pemimpin yang lain. Beliau akan betul-betul memastikan kita memperkenalkan siapa kita dan apa tujuan kita sebelum beliau mahu bercerita. Lantas aku harus meyakinkan siapa aku dan tujuan aku kepadanya.
Apa pun setelah lebih 2 jam pertemuan aku dan beberapa rakan dengannya, banyak juga tanggapan aku sebelum ini terhadapnya ada benar dan ada juga meleset.
Aku lihat DSTR sebenarnya seorang yang soft spoken person. Berhati lembut. Berjiwa halus. Sensitif. Perkataan yang keluar dari mulutnya datang dari hati. Aku senang berbicara dengannya. Dengannya mudah, dia suka dia kata suka, kalau tidak sependapat dia bantah. Katanya, “Nak berjuang kena tepat pada sasarannya”, aku masih ingat kata-kata itu.
Kita tahu ada ahli-ahli politik apabila berbicara, mahu menunjukkan dirinya gah dan serba tahu, menolak pandangan orang lain dan berdolak dalih. Tapi tidak DSTR. Beliau ikhlas bila berkata-kata.
Satu perkara yang aku tidak menjangka, beliau seorang yang suka merendah diri (very humble person) walaupun kita tahu bahawa pengalaman politiknya sangat luas. Beliau sudah masak dengan sepak terajang dalam politik. Lebih 40 tahun bergelumang dalam kancah politik tanahair.
Itulah resmi Melayu yang ada padanya. Bak resmi padi, makin berisi, makin tunduk. Kelebihan sebenarnya. Tapi kadangkala ada juga yang mahu mengambil kesempatan. Ada perkara yang beliau dipinggirkan di dalam UMNO sendiri kerana beliau malas bertelingkah atau berebut sesuatu tugasan/jawatan yang beliau sememangnya layak. Aku lihat ada sedikit kesamaannya dengan perwatakan DS Najib, beliau tidak suka menyakiti hati rakan-rakan walaupun ada rakan yang sering menyakiti dan menikamnya dari belakang. “Biarlah, siapa sangat kita ni”, katanya.
Apa pun semangat Melayunya sangat aku kagumi. Beliau tahu ramai yang tidak menyenanginya apabila beliau bersuara tentang hak orang-orang Melayu. Bukan sahaja bangsa lain yang berseteru dengannya, ada juga Melayu kita yang menganggapnya sebagai pembawa masalah dan rasis. Malahan dalam UMNO sendiri pun ada. Namun beliau teguh dengan semangat jati diri Melayunya.
Beliau mudah mesra. Aku kenal orang Perak kerana aku juga orang Perak. Kita tahu kemesraan perbualan orang Perak itu bagaimana. Mudah kita selami. Kadangkala disusuli hilai ketawa. Kadangkala beremosi, kadangkala berjenaka kasar.
“DS, sekarang DS Najib sudah kita angkat dengan panggilan BOSSKU, rasanya DS juga perlu ada satu nama panggilan yang unik seperti itu?”, cadang aku.
Dia ketawa. Dia termenung sebentar. Katanya, “Pernah satu ketika, masa saya berceramah di Negeri Sembilan, ada seorang ni melaung HIDUP ABANGKU, yang lain pun sahut, HIDUP ABANGKU”.
Wah, aku sedikit teruja. Aku sendiri menganggap gelaran ABANGKU memang kena padanya. Kena pada umur yang menjangkau 71 tahun, kena pada perwatakkan yang garang tapi mesra. Kena pada perinsip perjuangannya yang membela anak Melayu. Memang kena sangat dengan gelaran ABANGKU.
Aku rasa DSTR senang dengan panggilan ABANGKU. Mungkin juga dia mahu orang dalam UMNO tahu bahawa dia dulu makan garam. Beliau perlu ruang untuk dihormati. Pandangannya perlu diambil kira. Perkataan ABANGKU pun masih boleh dikira sebagai sikap rendah diri beliau, yang menganggap kita saling bersaudara dan saling memerlukan.
Mungkin kalian juga tahu bahawa semangat Melayu aku juga kuat. Dua tiga kali juga air mata aku bertakung dan mengalir bila berbicara dengannya mengenai bangsa Melayu yang semakin tertindas, agamaku dihina, Raja-Raja dipersenda. Apatah lagi apabila berbicarakan tentang bagaimana kecewanya generasi terdahulu, nenek moyang kita seandainya tahu bahawa negara ini tergadai ke tangan kumpulan yang berdarahkan pengganas komunis yang mereka tentangi dahulu.
Beliau memahami semangat Melayu kita dan luahan isi hati ritihan Melayu marhaen yang aku kongsikan.
Aku setuju dengannya bahawa perjuangan kita kini menjadi semakin mencabar. Usaha mempertahankan martabat Melayu sering terhalang terutamanya ketika di bawah kerajaan PH. Asal kita sebut Melayu sahaja maka kita dianggap rasis. Kadangkala kita di ‘provoke’ atau di api-apikan oleh pihak tertentu supaya menampakkan Melayu ini jenis suka bergaduh.
Kita tahu DSTR lantang bersuara di parlimen. Pantang disentuh bab Melayu, beliau akan bangun mempertahankannya. Kadangkala pihak lawan sengaja mengapi-apikannya. Mereka tahu DSTR pasti bangun. Tidak mustahil akan keluar kata-kata balas yang beremosi kesan dari provokasi yang disengajakan. Dari situ mereka punya ruang untuk mengnyahkan DSTR dari Dewan Parlimen.
Pasti ada yang mengatakan bahawa kita perlu bersabar. Tapi apabila bangsa anda dijijak-jijak, maruah Melayu dicaci, agama diperlekeh, kesabaran juga ada hadnya.
Yang membuatkan aku lebih sedih ialah apabila semangat perjuangannya dihalang dan diperlekeh oleh bangsanya sendiri. Aku lihat di dalam UMNO pun ada yang tidak menyenanginya. Kerana itu, setahu aku, DSTR tidak berada dalam senarai badan bertindak PU. Kononnya pemimpin kompenan parti dalam BN dan PAS tidak menyenanginya.
Aku dapati DSTR ini tidak berpuak-puak di dalam UMNO. Tidak di team A, tidak juga di Team B. Beliau neutral. Beliau setia pada pemimpin. Mungkin kerana itu beliau tidak disenangi. Beliau adalah antara segelintir kecil pemimpin UMNO yang sekali-sekala datang mengjengah ke mahkamah mengikuti perkembangan perbicaraan DS Najib.
Sebagai perkongsian, DSTR adalah pencetus dan perintis kepada Penyatuan Ummah. Kita semua sedia maklum bahawa Perhimpunan Melayu di Pasir Salak adalah dari inisiatifnya. Tergerak di hatinya untuk mengajak PAS untuk sama-sama UMNO di dalam perhimpunan itu. Satu visi dan misi yang dianggap mustahil pada ketika itu. Beliau memberanikan diri menemui Tuan Guru Haji Hadi Awang, Presiden PAS. TGHH memberi tempuh dua minggu untuk membuat keputusan kerana TGHH perlu berlepas ke Mesir atas urusan rasmi. DSTR mengambil initiatif bertemu kembali dua minggu kemudian. Tidak disangkanya setelah disapa dan menanyakan keputusannya, TGHH menerima pelawaannya untuk hadir ke Perhimpunan Melayu di Pasir Salak yang berlangsung di Pekan Kg Gajah, Pasir Salak pada 17hb November 2018. DS Zahid Hamidi juga turut bersama di perhimpunan yang berjaya menghimpunkan lebih 30 ribu orang Melayu itu.
Kini kita dapati pihak parti pemerintah bermati-matian mahu memusnahkan karier politik DSTR. Beliau kini terpaksa berhadapan dengan tindakan pergantungan kerana beliau mengaitkan abu mayat Chin Peng (bekas pemimpin Parti Komunis Malaya) dengan abu yang dicalit di kepala (dahi) AP Jelutong. Kita akui bahawa tidak sepatutnya beliau berkata sedemikian. Tetapi kita kenal Melayu kerana kita Melayu.
Melayu terkenal dengan sifat penyabar, tolak ansur dan sikap tidak apa. Tapi andai ada yang bersikap keterlaluan terhadap Melayu, Melayu boleh berubah sikap. Melatah dan baran ada pada Melayu. Amuk itu kuat mengalir dalam darah Melayu. Ingat peribahasa ini, biar mati anak, jangan mati adat. Biar putih tulang jangan putih mata. Alang-alang seluk perkasam biar sampai ke pangkal lengan. Alang-alang mandi biar basah.
Kawan, sukar untuk kita ada seorang pejuang Melayu yang berani seperti DSTR. Kita jagailah dia. Beliau menang majoriti yang agak tinggi (7712 undi) dalam PRU14 walaupun Perak dikuasai PH. Rakyat marhaen perlukan pembela sepertinya. Perjuangannya masih relevan. Sangat relevan pada situasi sekarang. ABANGKU pembela bangsa.
Ulasan
Catat Ulasan