Langkau ke kandungan utama

Konon Husni diperlakukan sebagai ‘office boy’ adalah komedi memandangkan tanda tangan beliau sebagai MOF2 menunjukkan sebaliknya.

Saya tidak sangka Husni rendahkan dirinya sehingga tahap ‘office boy’ – Najib


MGF11112019_NAJIB-RAZAK-SRC_06Perdana Menteri ke6 , Datuk Seri Najib Razak.


KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tidak menyangka Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah yang pernah berjawatan Menteri Kewangan II sebelum ini menanggap dirinya (Husni) tidak lebih daripada budak pejabat atau ‘office boy’.

Malah anggapan Ahmad Husni terhadap dirinya sendiri sebagai ‘office boy’ itu disifatkan ‘komedi’ oleh Najib sebentar tadi ketika  perbicaraan SRC International Sdn Bhd melibatkan penyewelengan dana RM42 juta.

Najib yang ketika membacakan keterangan saksi bersumpahnya itu menyatakan, adalah tidak masuk akal sama sekali untuk Ahmad Husni meletakkan dirinya sehingga ke tahap ‘office boy’ sahaja.

“Tuduhan kononnya diperlakukan sebagai ‘office boy’ adalah komedi memandangkan tanda tangan beliau sebagai MOF2 menunjukkan sebaliknya.

“Adalah sangat tidak masuk akal sama sekali untuk MOF2 merendahkan diri sendiri ke tahap office boy yang kononnya mengikut arahan sedangkan beliau sendiri yang gagal menjalankan tanggungjawabnya.

“Dan, saya tidak pernah beritahunya untuk tidak terlibat dengan SRC. Memang jelas dalam dokumen yang telah dikemukakan ketika perbicaraan, beliau telah meluluskan beberapa memo penting selaku MOF2,” katanya di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Sebelum ini ketika perbicaraan SRC International, Ahmad Husni yang menjadi saksi ke-55 mendakwa dirinya tidak lebih daripada ‘budak pejabat’ sahaja dan mendedahkan Najib telah memberikan amaran supaya beliau tidak sesekali mencampuri urusan berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) mahupun SRC International.

Jelas Ahmad Husni ketika itu, beliau sekadar menurunkan tanda tangan ketika diperlukan dan jarang sekali mengetahui status sebenar syarikat-syarikat pelaburan tersebut.

Malah beliau mengakui dirinya telah dipaksa menandatangani dokumen RM2 bilion pelaburan itu tanpa mengetahui sebarang maklumat terperinci.

Najib juga sebentar tadi menafikan dirinya menyembunyikan pemindahan dana SRC kepada Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD) daripada Ahmad Husni

Beliau yang memberi keterangan dari kandang saksi berkata, apa yang dilakukan Ahmad Husni kepada mahkamah adalah implikasi D524 (Memo yang dikaitkan dengan pemindahan SRC International dari 1MDB) yang sengaja disembunyikan daripadanya.

“Saya boleh kata dengan yakin bahawa ia tidak disembunyikan dan saya tidak pernah mengarahkan sesiapa untuk menyembunyikan daripadanya.

“Ia bergantung kepada Tan Sri Nor Mohamed Yakcop untuk memberitahu dia terlebih dahulu mengikut protokol,” tegasnya.

Perbicaraan bersambung selepas berhenti untuk makan tengah hari. – MalaysiaGazette

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Sedih apabila melihat dua keadaan berbeza di Pasar Borong Selayang.

kkm tarik keluar 10 ubat gastrik risiko kanser