Perjuangan pkm terpesong - Sultan Selangor

'Perjuangan PKM terpesong' - Sultan Selangor


SULTAN Selangor mengingatkan rakyat Selangor supaya tidak terkeliru dengan fakta sejarah perjuangan Parti Komunis Malaya (PKM), sehingga mengagungkan pemimpin parti berkenaan.


Tegas Sultan Sharafuddin Idris Shah, perjuangan PKM tidak berlandaskan kepada konsep pembentukan sebuah negara Malaysia merdeka berteraskan demokrasi Raja Berperlembagaan, walaupun dikatakan turut menentang penjajahan.

“Fakta perjuangan ideologi PKM ini adalah satu fakta sejarah yang perlu difahami dengan mendalam oleh generasi sekarang agar tidak terpesong dengan fakta yang mengelirukan tentang perjuangan mereka.

“Melalui fakta sejarah juga kita dapat menghargai pengorbanan yang begitu besar oleh pasukan polis atau tentera kita, terutamanya ketika negara diancam PKM sekitar tahun 40-an hingga 70-an,” titah baginda.

Baginda bertitah pada Istiadat Pengurniaan Darjah dan Bintang Kebesaran Sempena Ulang Tahun Keputeraannya yang ke-74 di Istana Alam Shah, di Klang, hari ini.

Turut berangkat Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin dan Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah.

Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah, ramai rakyat negara ini terdiri kaum Melayu, Cina, India dan kaum lain juga turut terkorban akibat serangan pengganas komunis.

“Kehidupan rakyat ketika itu sentiasa di dalam ketakutan akibat serangan yang dilakukan oleh anggota PKM.

“Selain itu, banyak perkampungan dan balai polis diserang, manakala rakyat dan polis dibunuh serta diseksa oleh PKM,” titah baginda.

Sultan Selangor turut menyeru kepada semua rakyat untuk belajar mengenai sejarah secara mendalam khusus dalam pembentukan negara sekali gus mengetahui fakta sejarah yang sebenar.

“Rakyat perlu tahu tentang sejarah yang pernah dilalui negara ini, jadi kita boleh menjadikan fakta ini sebagai panduan kita mencapai kehidupan yang lebih baik dan sempurna.

“Beta percaya rakyat masih ingat kepada sejarah hitam negara tatkala rusuhan kaum yang berlaku pada peringkat awal kemerdekaan negara.

“Pada ketika itu, kehidupan berada di dalam keadaan yang amat perit dan huru-hara. Ekonomi negara juga terjejas teruk akibat rusuhan kaum yang berlaku,” titah baginda.

Baginda bertitah, detik hitam kekejaman komunis perlu dijadikan sebagai panduan agar tidak mengulangi kesilapan dahulu.

“Selain itu, rakyat perlu hati-hati dalam memberikan pandangan. Sekiranya ingin memberi sesuatu pandangan, perlulah dilakukan secara berhemah tanpa perlu mempersoalkan apa yang sudah termaktub dalam Perlembagaan Negara,” titah Baginda.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

MALAYSIA TIDAK IKTIRAF LESEN MEMANDU UNHCR .

Keluhan warga RTC Kelantan tentang peniaga asing