Saya tentukan bila hendak lepas jawatan' - Tun M
Saya tentukan bila hendak lepas jawatan' - Tun M
PUTRAJAYA 22Feb 2020: Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) malam ini, sebulat suara bersetuju peralihan kuasa Perdana Menteri ditentukan sepenuhnya oleh Tun Dr Mahathir Mohamad.
Menyifatkan mesyuarat yang berlangsung mulai jam 9.30 malam hingga 12 tengah malam tadi membincangkan secara panjang lebar, Dr Mahathir berkata, secara keseluruhannya ia terarah kepada ‘masa depan’ PH.
“Ada dua pendapat, akhirnya saya rasa bangga, semuanya diserah kepada saya, apa saya kata, mereka akan turut.
“Peralihan berlaku lepas APEC (Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik), ‘no time, do date, no nothing’ (tiada masa, tiada, tarikh, tiada apa pun).
“Semuanya terpulang pada saya, sama ada nak lepas atau tidak. Itu kepercayaan parti kepada saya, Alhamdulillah,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat yang berlangsung hampir tiga jam itu, malam tadi.
Yang turut hadir, Presiden PH, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Mohamad Sabu; Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.
Menjawab pertanyaan mengenai perjanjian melantik Anwar sebagai Perdana Menteri ke lapan, Dr Mahathir berkata, perkara itu tidak dibincangkan ketika mesyuarat malam tadi.
“Keputusannya, saya sendiri akan menentukan tarikh (melepaskan jawatan) selepas APEC. Keputusan yang dicapai itu adalah sebulat suara.
“Rombakan Kabinet juga tidak dibincang, cuma nak tentukan masa cuma masa itu terpulang kepada saya,” katanya.
Ditanya sama ada keputusan mesyuarat itu dicapai secara sebulat suara, Dr Mahathir dalam nada berseloroh berkata: "Ya, sebulat suara, kerajaan dan pembangkang".
Mengulas terma ‘terpulang kepada saya’ termasuk kemungkinan peralihan kuasa berlaku selepas APEC, Dr Mahathir sambil mengukir senyuman berkata: "Semuanya di tangan saya".
Selain isu peralihan kuasa, Dr Mahathir berkata, mesyuarat malam ini membincangkan percaturan PH untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak.
Katanya, fokus utama PH untuk mengharungi cabaran besar itu adalah supaya tiada parti komponen dalam gabungan berkenaan yang terpaksa berdepan sesama sendiri.
"Saya juga bincang mengenai PRN Sarawak, supaya calon-calon kita tidak berlawan sesama parti komponen.
"Kita juga akan anjurkan konvensyen yang tarikhnya belum ditentukan lagi," katanya.
Ulasan
Catat Ulasan