Larangan tangkap ikan tamalian hingga April 2020
Larangan tangkap ikan tamalian hingga April 2020
JABATAN Perikanan Pahang mengeluarkan amaran tidak membenarkan aktiviti menangkap ikan tamalian (prabarbus jullieni) di sungai utama di Kuantan, Pahang bermula bulan ini hingga April.
Pengarah Jabatan Perikanan Pahang, Datuk Azahari Othman berkata, larangan berkenaan berikutan musim ikan terbabit bertelur dan akan berada kawasan air cetek secara berpasangan.
Menurutnya, ikan itu yang boleh mencapai berat 25 hingga 40 kilogram (kg) kini semakin berkurangan dan tidak mustahil menghadapi risiko kepupusan jika tangkapannya tidak dikawal terutama pada musim bertelur.
Katanya, ikan tamalian adalah spesies ikan sungai yang hanya terdapat di Pahang dan Perak, permintaan terhadap ikan berkenaan adalah tinggi walaupun harganya mahal.
“Sifat ikan tamalian atau temoleh akan ke kawasan lubuk dan air cetek untuk bertelur secara berpasangan memudahkan nelayan darat menangkapnya hanya menggunakan jaring hanyut.
“Jabatan memasang papan tanda di sepanjang Sungai Pahang, Sungai Tembeling dan Sungai Jelai sebagai peringatan kepada pihak berkaitan supaya tidak melakukan aktiviti menangkap ikan tamalian selama tiga bulan.
“Kegiatan menangkap ikan tamalian yang banyak terdapat di tiga sungai terbabit akan berleluasa setiap kali tiba musim bertelur, permintaan menggalakkan dengan harga mencapai RM50 sekilogram merancakkan lagi aktiviti memburu ikan berkenaan,” katanya, di sini hari ini.
Beliau berkata, mengikut peraturan Kaedah-Kaedah Perikanan (Perairan Sungai) 1991 Pahang, individu yang menangkap ikan tamalian dalam tempoh larangan boleh dikenakan kompaun hingga RM5,000 dan peralatan menangkap ikan mereka dirampas.
“Sebelum ini kita pernah mengesan nelayan darat di beberapa kampung tradisional seperti Kampung Pagi dan Kampung Durian Hijau, Jerantut; Kampung Paloh Hinai, Pekan; Lubuk Paku dan Kampung Pejing, Maran yang aktif melakukan aktiviti menangkap ikan tamalian.
“Kita tidak akan berkompromi dengan pihak ini dan hukuman akan dikenakan tanpa sebarang alasan. Kita juga menubuhkan pasukan pemantau media sosial seperti di Facebook, WhatsApp dan Instagram untuk mengesan gambar ikan tamalian yang muat naik oleh individu tertentu,” katanya.
Ulasan
Catat Ulasan