Awas Maruku tiada sijil halal, gaji Pati, kotor

Maruku tiada sijil halal, gaji Pati, kotor

GUNA Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) tidak sah, menggaji tujuh pendatang asing tanpa izin (Pati) dan keadaan premis kotor.
Itu keadaan sebuah premis memproses muruku di Kajang yang diserbu Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) pagi semalam.
Pengarah JAIS Mohd Shahzihan Ahmad berkata, Bahagian Pengurusan Halal (JAIS) menjalankan operasi bersepadu dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Cawangan Kajang dan Pejabat Kesihatan Daerah Hulu Langat.
"Pemeriksaan mendapati terdapat penggunaan logo halal yang tidak sah (logo generik) pada bungkusan produk makanan ringan muruku yang dijual.
"Hasil siasatan juga mendapati produk ini dijual secara meluas di pasar raya berhampiran, kedai serbaneka 24 jam, kedai runcit di sekitar Hulu Langat, Cheras serta di platform e-dagang.
"Antara strategi pemasaran yang digunakan syarikat itu adalah menggunakan label jenama nama wanita Islam bertujuan mengelirukan masyarakat Islam kononnya produk itu keluaran produk muslim dan boleh dimakan oleh orang beragama Islam tanpa was-was," katanya dalam satu kenyataan di Shah Alam hari ini.
Mohd Shahzihan berkata, hasil semakan yang dilakukan dalam Sistem MYe-Halal Malaysia mendapati premis berkenaan bukan pemegang SPHM yang sah.
"Oleh itu, JAIS melakukan sitaan mengikut Perintah 4(1) Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) Akta Perihal Dagangan 2011 membabitkan 138 kotak siap berbungkus (pelbagai peket), 960 kotak bertanda logo halal yang tidak sah (belum digunakan) dan pelbagai lagi.
"Anggaran nilai rampasan yang dilakukan adalah sebanyak RM14,819.
"Siasatan dijalankan mengikut Perintah 4(1) Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) Akta Perihal Dagangan 2011 dan jika disabit kesalahan pemilik premis boleh didenda sehingga maksimum RM200,000," katanya.
Beliau berkata, pemeriksaan yang dilakukan juga mendapati pemilik premis menggajikan sembilan pekerja membabitkan dua warga tempatan manakala tujuh lagi warga asing.
"Pekerja warga asing itu disyaki dari India dan tidak memiliki pasport atau permit kerja yang sah.
"Keadaan premis juga sangat kotor terutamanya di kawasan pemprosesan makanan dan pejabat kesihatan mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap premis mengikut Peraturan Kebersihan Makanan 2009 11(1)b kerana gagal menyediakan rekod latihan pengendali makanan dan 7(1) disebabkan tidak memperbaharui perakuan pendaftaran premis makanan.
"Tindakan arahan penutupan premis turut dilakukan mengikut Seksyen 11 Akta Makanan 1983," katanya.
Beliau juga menasihatkan orang awam terutamanya umat Islam agar sentiasa teliti terhadap logo halal yang dipamerkan dan pastikan ia adalah logo asli yang diiktiraf oleh JAIS atau JAKIM.
"Umat Islam perlu lebih peka terhadap produk yang mempamerkan logo halal dan sentiasa melakukan semakan terhadap logo dan produk halal di direktori Halal Malaysia (www.halal.gov.my) atau hubungi Bahagian Pengurusan Halal (JAIS) di talian 03-55143760/3486 bagi sebarang kemusykilan atau pertanyaan mengenai status pensijilan yang dipamerkan pada produk makanan, minuman, kosmetik, premis makanan,
barang gunaan atau pelbagai lagi, " katanya.
https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2020/07/595778/maruku-tiada-sijil-halal-gaji-pati-kotor

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

MALAYSIA TIDAK IKTIRAF LESEN MEMANDU UNHCR .

Keluhan warga RTC Kelantan tentang peniaga asing