3 POLIS TRAFIK DITAHAN PERAS UGUT PEMANDU LORI

3 POLIS TRAFIK DITAHAN PERAS UGUT PEMANDU LORI

5 Julai 2020

JOHOR BAHRU - Tiga anggota Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) dI Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam ditahan kerana disyaki terlibat dalam aktiviti pemerasan ke atas seorang pemandu lori semasa melakukan sekatan jalan raya semalam.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayub Khan Mydin Pitchay berkata, ketiga-tiga anggota polis trafik itu berusia antara 32 hingga 39 tahun dan siasatan mendapati mereka meminta rasuah.

"Anggota polis terbabit ditangkap selepas pemandu lori berkenaan membuat aduan.  Mereka meminta RM4,000 daripada pemandu lori berkenaan kerana membawa lebih muatan. Bayangkan kalau tiga lori mereka sudah meminta sehingga RM12,000.

"Mereka melakukan kegiatan ini semasa hanya bertiga, melakukan sekatan jalan raya menerusi Ops Perdagangan. Mereka mengambil kesempatan semasa melakukan operasi ini," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Kontinjen Polis (IPK) Johor di sini hari ini.

Ayub Khan berkata, siasatan terhadap mereka tidak diserahkan kepada pihak Pengurusan Aduan, Jabatan Intergriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Polis Diraja Malaysia (PDRM), sebaliknya dibuka kertas siasatan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Negeri (OCCI).

Mereka akan disiasat di bawah Seksyen 384 Kanun Keseksaan (Pemerasan) yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak lebih 10 tahun atau denda atau sebat.

"Kenyataan daripada pihak saksi sudah diambil, apabila cukup bukti akan dituduh di mahkamah. Sekarang tiada lagi siasatan dalaman. Kita tidak ada tolak ansur lagi jika ada anggota polis Johor terbabit rasuah," katanya.

Tegas beliau, mereka akan disiasat pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan pihaknya mahu membersihkan elemen-elemen negatif dalam pasukan polis Johor. - VOICE

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Sedih apabila melihat dua keadaan berbeza di Pasar Borong Selayang.

kkm tarik keluar 10 ubat gastrik risiko kanser